PETALING JAYA – Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata terdapat gerakan dalam UMNO menuntut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, pertemuan tersebut dibuat di rumahnya pada Mei 2020 bagi memulakan gerakan yang turut dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti itu.
“Kita buat memorandum minta (Ahmad) Zahid turun dengan baik demi UMNO.
“Pertemuan itu dibuat Mei tahun 2020,” katanya dalam sidang media khas di hotel Eastin, Petaling Jaya.
Tajuddin secara terang terangan menyebut perjumpaan itu diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
Jelasnya, gerakan itu diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu Ahmad Zahid berundur secara baik.
“Bukan nak tendang dia (Ahmad Zahid), tak baik. Ketuanya Tok Mad (Datuk Seri Mohamad Hasan), Bossku (Datuk Seri Najib Razak) suruh kumpulkan buat tinjauan berapa Ketua Bahagian yang setuju, 130 orang setuju (Ketua Bahagian), Perak 18, Selangor 17,” katanya.
Namun gerakan itu terhenti apabila ada pihak yang ‘belot’ kerana disergah oleh ‘orang’ Ahmad Zahid.
“Kenapa tak jadi? Sebab Tok Mad sebagai Ketua dengan Bossku belot. Tak jadi. Tok Mat disergah dengan budak Zahid, setiausaha politik dia.
“Eloklah Tok Mad, tak boleh pakai. Dia guna bahasa Negeri Sembilan dia. Sedap dengar je lah. Bossku pula saya diminta tinjau Ketua Bahagian.
“Kita buat keputusan bossku panggil orang dia sokong gerakan itu. Malah panggil ke rumah dia, minum, seorang berucap. Lain pula. Bukan minta Zahid turun minta Bossku jadi pengerusi BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette