Home Nasional Yayasan Akalbudi: Zahid mohon tangguh prosiding bela diri

Yayasan Akalbudi: Zahid mohon tangguh prosiding bela diri

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi pembicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berdepan dengan perbicaraan rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi memohon mahkamah untuk menangguhkan prosiding bela diri hari ini.

Presiden UMNO itu memohon penangguhan sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan selesai untuk mendapatkan salinan percakapan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini, peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh berkata, rayuan tersebut difailkan pada 23 Jun lepas.

Jelasnya pada masa sama, pihaknya telah memohon supaya pendengaran tersebut disegerakan.

“Pihak pembelaan perlu masa untuk memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan itu.

“Kita ada mohon untuk segerakan pendengaran,” katanya.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan melibatkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Pada 24 Januari lalu, Bekas Timbalan Perdana Menteri itu diperintah membela diri atas semua pertuduhan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Dalam afidavit yang difailkan, Ahmad Zahid menyebut salinan percakapan beberapa saksi kepada SPRM amat penting dalam kes pembelaan beliau selain ia penting bagi membuktikan terdapat sokongan antara keterangannya dan keterangan mereka.

Antara saksi-saksi dalam kesz tersebut ialah anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah; adik beliau, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Hakim kemudian menetapkan 4 Julai untuk pihak pendakwaan memfailkan afidavit balasan dan permohonan itu didengar pada 7 Julai ini.

Pada awal bulan lepas, mahkamah menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi SPRM.

Ini kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi seperti diugut agar memberikan keterangan yang berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan. -MalaysiaGazette