ALOR GAJAH – Seorang pembantu guru sebuah tadika dan duda antara enam individu yang dicekup dalam operasi cegah maksiat di sebuah hotel bajet di Taman Bidara Jaya, Masjid Tanah awal pagi tadi
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, wanita berusia 36 tahun itu yang juga janda dan pasangannya duda berusia 37 tahun ditahan sepasukan anggota pencegah maksiat termasuk pegawai syarak Masjid Al Jawahir Pengkalan Balak kira-kira jam 12.30 pagi.
Menurutnya, dua lagi pasangan muda yang ditahan dalam bilik berasingan berusia antara 17 dan 20 tahun dan setelah kesemua mereka gagal menunjukkan bukti pernikahan yang sah.
“Hasil aduan awam, pegawai syarak yang juga imam masjid berkenaan bersama ahli jawatankuasa masjid serta enam anggota polis telah pergi ke lokasi.
“Kesemua mereka termasuk janda yang berkerja sebagai pembantu guru tadika di negeri ini dan pasangannya seorang duda berasal Kedah gagal menunjukkan dokumen ikatan perkahwinan yang sah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya hasil soal siasat, wanita berkenaan mengaku mempunyai dua orang anak dan bekerja sebagai pembantu guru sebuah tadika di negeri ini.
“Pasangannya duda berusia 37 tahun memberi alasan datang ke Melaka semalam untuk menghadiri temuduga kerja di sebuah kilang di sini sebelum mereka menginap bersama di hotel bajet yang disewa pada kadar RM60 semalaman.
“Alasan diberikan kerana mereka sudah lama tidak berjumpa dan tinggal berjauhan selepas berkenalan ketika kedua-duanya menghadiri kursus di Kedah sekitar tahun lalu,” katanya.
Che Sukri berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette.