KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencapai kata sepakat menganjurkan siri latihan dan pendidikan mengenai jenayah rasuah untuk kepimpinan sayap parti itu di semua peringkat.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, siri latihan dan pendidikan itu turut melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kalangan sayap parti yang menang dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) November tahun lalu dan Mac tahun ini.
“Hari ini, delegasi Pemuda UMNO Malaysia dapat mengadakan kunjungan hormat dan berbincang selama dua jam dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Antara kerjasama yang disepakati adalah untuk Pemuda UMNO menganjurkan bersama dengan SPRM siri-siri latihan dan pendidikan buat kepimpinan Pemuda UMNO di semua peringkat.
“Ini termasuk YB-YB Pemuda yang baru dipilih dalam pilihan raya dan Exco-Exco Kerajaan Negeri yang dilantik seramai lapan orang di kalangan Pemuda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Asyraf, program itu penting bagi memastikan pembudayaan politik berintegriti dan bebas rasuah dapat diterapkan sedari awal.
Katanya, kepimpinan muda diberikan pencerahan praktis bagi mengelakkan diri daripada terjebak sebarang amalan rasuah, pecah amanah dan apa juga yang melanggar prinsip agama, integriti serta moral.
“Bersama dalam delegasi ini bukan sahaja kepimpinan kanan Pemuda, tetapi juga tiga wakil rakyat baharu di kalangan Pemuda iaitu Fairul Nizam Roslan Along, Hairi Md. Shah dan Dr. Akmal Saleh.
“Mereka hadir untuk bersama-sama dalam memperhalusi pelbagai langkah bagi membudayakan politik integriti di kalangan pemimpin muda UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette