Home Nasional PN Melaka sifatkan Mohamaddin gelojoh

PN Melaka sifatkan Mohamaddin gelojoh

Dr Mohd Yadzil Yaakub

JASIN – Tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengumumkan  keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menjadi wakil rakyat bebas hanya kerana mahu mengejar kedudukan yang disifatkan sebagai gelojoh.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, alasan diberikan Mohamaddin itu tidak sewajarnya dibangkitkan kerana masih ramai ahli lain di dalam parti tidak mempunyai jawatan tinggi.

“Tapi kalau di peringkat awal kita dah fikirkan tentang jawatan, posisi, tiada tempat di Bersatu, mungkin saya boleh cakap gelojohlah. Kita (ahli) sebenarnya harus bersabar, banyak lagi orang-orang sekeliling Bersatu ini belum ada tempat,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat N24 Bemban, Taman Jasin Bestari, di sini hari ini.

Dr Mohd Yadzil yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkata demikian bagi mengulas  tindakan Mohamaddin yang mengumumkan keluar Bersatu sekaligus menjadi wakil rakyat bebas hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu memberi alasan tindakannya itu kerana beliau tidak diberi peranan dalam parti tersebut sejak menyertainya pada November lalu.

Pada Oktober tahun lalu, Mohamaddin meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum mengumumkan menyertai Bersatu sebulan selepas itu.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Yadzil berkata, ahli Bersatu seharusnya faham, parti itu masih baharu ditubuhkan dan memerlukan masa untuk melantik seseorang ke dalam jawatan penting.

“Ramai lagi yang belum ada tempat tapi mereka kekal dengan prinsip perjuangan dan kekal bersama Bersatu.

“Saya yakin mereka pun percaya sampai satu masa nanti mereka akan ada tempat yang lebih baik daripada sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette