KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin kini berada di Paris untuk mewakili Malaysia ke persidangan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).
Menerusi perkongsian di Facebooknya, persidangan berkenaan akan berlangsung bermula 28 sehingga 30 Jun ini.
“Persidangan pre-summit kali ini membicarakan tentang transformasi pendidikan serta langkah yang dapat diambil bagi memastikan kemajuan dan kemampanan sistem pendidikan.
“Beberapa sesi perbincangan dan lawatan kerja akan turut diadakan sepanjang berada di sini, khususnya berkaitan dengan transformasi pendidikan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Mohd Radzi turut berkongsi gambar pertemuannya dengan Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Zamruni Khalid. – MalaysiaGazette