Home Nasional ‘Spider Solo’ aktif pecah rumah bayar hutang judi tumpas

‘Spider Solo’ aktif pecah rumah bayar hutang judi tumpas

Christopher (tengah) menunjukkan antara barangan rampasan bernilai kira-kira RM500,000 susulan penahanan 20 individu yang terbabit dalam 49 kes jenayah pecah rumah dan curi harta benda melibatkan dua individu dan lima kumpulan penjenayah berusia 22 hingga 57 tahun pada Op Pintu bermula 1 Januari hingga 22 Jun lalu.

MELAKA – Kelincahan seorang tahi judi melakukan jenayah pecah rumah ala ‘Spiderman’ dengan cara memanjat saluran paip akhirnya terbalas apabila ditahan polis di ibu negara awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan dalam Ops Pintu ketika suspek dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Kepong, Kuala Lumpur 8 Jun lalu.

Menurutnya, penahanan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah itu adalah hasil risikan mendapati suspek terbabit dalam lima kejadian pecah rumah di sekitar Batu Berendam, di sini, pada hujung Mei lalu yang  melibatkan kerugian kira-kira RM50,000.

“Suspek yang bergerak sendirian digelar ‘Spider Solo’ kerana keupayaannya memanjat kediaman mangsanya melalui saluran paip sebelum memecah masuk rumah melalui ruang siling.

“Modus operandi digunakan, suspek yang juga ‘tahi judi’ dan mempunyai banyak hutang ah long akan menekan loceng pintu rumah mangsanya untuk memeriksa sama ada kediaman itu kosong atau sebaliknya sebelum melakukan jenayah itu,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media di pada sidang media di IPD Melaka Tengah di sini hari ini.

Christopher (kanan) menunjukkan antara barangan rampasan
bernilai kira-kira RM500,000 susulan penahanan 20 individu yang terbabit dalam 49 kes jenayah pecah rumah dan curi harta benda
melibatkan dua individu dan lima kumpulan penjenayah berusia 22 hingga 57 tahun pada Op Pintu bermula 1 Januari hingga 22 Jun lalu.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, suspek aktif melakukan jenayah itu sekitar ibu negara kira-kira setahun yang lalu sebelum beralih ke negeri ini sekitar Februari lalu apabila jenayahnya itu mula dikesan polis.

“Kes pecah rumah pertama di Melaka dilakukan suspek yang masih bujang adalah pada hujung Mei lalu yang mana dalam masa lima jam sahaja suspek mampu memecah masuk lima buah rumah berhampiran sekitar Batu Berendam.

“Kesemua hasil curi terutamanya wang tunai digunakan akan diberikan kepada ah long untuk melangsaikan hutang judinya manakala barangan akan dijual kepada rakan-rakan,” katanya.

Tambahnya, suspek direman sehingga esok dan dituduh di Mahkamah Melaka di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Terdahulu Christopher mengumumkan kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Melaka Tengah menahan 20 individu yang terbabit jenayah pecah rumah dan curi harta benda membabitkan kerugian kira-kira RM500,000.

Kesemua mereka termasuk melibatkan dua individu dan lima kumpulan penjenayah berusia 22 hingga 57 tahun itu diberkas menerusi Op Pintu bermula 1 Januari hingga 22 Jun lalu sekaligus berjaya menyelesaikan 49 kes dalam daerah Melaka Tengah.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 380 dan Seksyen 447 kanun sama selain Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959. – Malaysia Gazette.