Home Nasional LPP import 4,536 metrik tan stok ayam menjelang 31 Julai ini

LPP import 4,536 metrik tan stok ayam menjelang 31 Julai ini

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Azulita Salim menunjukkan bekalan ayam satu kontena tiba di Kilang Pemprosesan Ayam Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Pandamaran, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2022.

KLANG – Bagi simpanan stok menjelang 31 Julai ini, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dijangka mengimport sejumlah 4,536 metrik tan ayam bulat daripada pengeluar ayam dari Thailand.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azulita Salim berkata, langkah itu diambil bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran berikutan kenaikan kos ternakan itu.

“Setakat ini, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor telah membawa masuk enam kontena ayam bulat berjumlah 120 metrik tan.

“Satu kontena telah sampai dan ditempatkan di bilik sejuk NAFAS, sementara satu kontena lagi telah sampai dan ditempatkan di bilik sejuk PPN Selangor di Pandamaran hari ini.

“Empat kontena lagi akan tiba di minggu hadapan. PPN Johor juga akan mengimport tiga kontena dan PPN Perak pula lima kontena dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Kawasan Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang hari ini.

Menurut Azulita, pengimportan itu dilakukan bagi menampung kekurangan sehingga 20 peratus bekalan ayam bulat di pasaran.

“LPP hanya boleh menampung 20 peratus ketidakcukupan atau kekurangan bekalan ketika ini dan kita boleh menyimpan stok ini sehingga tujuh hari sahaja.

“Buat masa ini kita tiada pengurangan bekalan di pasaran kerana ia masih mencukupi.

“Fungsi stok penimbal ini memastikan apabila ada kekurangan, kita ada stok yang boleh kita tawarkan dan dalam masa sama, kita boleh mengimbangi harga,” katanya.

Tambahnya, kesemua bekalan ayam yang dibawa masuk dari Thailand  telah disahkan oleh Jabatan Veterinar Malaysia (DVS) termasuk daripada aspek halal.

“Kita juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dalam kita membawa masuk stok penimbal ini,” katanya.

Ditanya tentang usaha LPP sendiri dalam mengusahakan penternakan ayam tempatan, beliau berkata, ketika ini sebanyak 1.8 metrik tan diternak agensi itu dan ia masih belum mencukupi menampung keperluan protein itu.

“LPP ada menternak (ayam) dan kita juga ada pusat proses, cuma kita tidak mempunyai kapasiti ternak dan proses ayam yang besar untuk menampung keperluan.

“Keperluan ayam tempatan mencecah sehingga 1.8 juta metrik tan sehari oleh rakyat Malaysia namun LPP cuba memantapkan ternakan ini supaya dapat dipasarkan di negara kita sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette