Home Ekonomi PERNAS biaya RM43 juta laksana Program BIT

PERNAS biaya RM43 juta laksana Program BIT

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS, Mazlan Ibrahim (tengah) melihat produk usahawan tempatan yang menyertai mini BITe di Kuantan hari ini

KUANTAN – Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) membiayai sebanyak RM43 juta Program Transformasi Perniagaan (BIT) dalam melahirkan usahawan francais.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS, Mazlan Ibrahim berkata, pihaknya menyasarkan seramai 22 usahawan pra francais baharu dapat dilahirkan menerusi program BIT  tahun ini.

“Bagi menambah baik program BIT pada tahun ini, pakej pembiayaan pra-francaisi juga telah dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM50,000.

“Ia bagi memberi peluang kepada bakal usahawan untuk memiliki konsep perniagaan yang lebih menarik dan penggunaan peralatan yang lebih berkualiti,” ,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Ekspo Mini BIT (BITe) di Hotel Sri Manja hari ini.

Sebanyak enam jenama yang berpotensi didaftar sebagai perniagaan francais,telah berjaya mendapatkan lesen francais daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Jelas Mazlan, selain menyediakan pembiayaan, PERNAS juga membantu usahawan kecil dan sederhana menjadi lebih kompetitif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan melalui latihan, bimbingan serta khidmat nasihat.

Justeru pihaknya menggunakan pelbagai platform bagi memastikan objektif program dapat dicapai dan mempergiat promosi.

“PERNAS turut turun padang bertemu dengan peniaga berpotensi secara langsung atau melalui persatuan selain melalui ekspo yang diadakan.

“Sebanyak penyertaan 150 usahawan selain mengumpulkan 16 jenama tempatan untuk berkongsi kejayaan,” katanya.

Program BITe 2022 edisi kedua yang berskala besar akan diadakan pada November ini menjangkakan penyertaan daripada 50 syarikat pra-francais BIT.

Untuk rekod sehingga kini PERNAS telah membiayai sebanyak RM8.3 juta untuk program BIT sejak tahun 2013 membabitkan seramai 2,000 pra-francaisi berjaya dilahirkan. – MalaysiaGazette