Home Utama Tok Pa nafi seleweng peruntukan UMNO Kelantan

Tok Pa nafi seleweng peruntukan UMNO Kelantan

Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan dakwaan Presiden UMNO yang beliau telah menyeleweng peruntukan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurut bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang dikenali Tok Pa itu, semua dana parti telah diuruskan mengikut garis panduan termasuk dana untuk pilihan raya.

Peruntukan tersebut diuruskan oleh sebuah jawatankuasa di peringkat Badan Perhubungan UMNO.

Mustapa turut menafikan penyertaannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah bertujuan untuk mengelak daripada disiasat oleh pihak berkuasa.

Beliau turut menegaskan tidak pernah menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk menyertai Bersatu.

“Kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak sebelum ini.

“Pihak SPRM telah menafikan perkara ini pada 20 September 2018 manakala Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada masa itu telah memberi penjelasan mengenai pengurusan dana PRU-14 pada 16 Januari 2019.

“Tuduhan-tuduhan seumpama ini berniat untuk mencemarkan reputasi saya sebagai ahli jemaah Menteri dan ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapa bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan.

Tambahnya, selepas PRU-14, beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa sebanyak dua kali iaitu pada akhir tahun 2018 dan pada awal tahun 2019.

Sebagai bekas menteri, beliau diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) berkaitan minit Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai projek Trans Sabah Gas Pipeline.

Sebagai bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, beliau juga diminta memberi keterangan kepada polis berkaitan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang didakwa diperolehi daripada sumber 1MDB

Semalam Ahmad Zahid yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri mendedahkan di mahkamah terdapat lima ahli Parlimen UMNO yang melompat parti dan menyertai Bersatu menyeleweng jutaan ringgit dana parti itu.

Pendedahan itu dibuat semasa prosiding pembelaan kes rasuah Yayasan Akalbudi yang sedang dihadapinya ketika ini.

Ahmad Zahid mendakwa, beliau bukan sahaja mempunyai pengetahuan sebaliknya ada bukti tentang penyewelengan dana UMNO yang telah diamanahkan kepada beberapa pemimpin yang bertanding di kerusi Parlimen mewakili UMNO pada PRU-14.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Zahid beritahu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Jeli seleweng dana UMNO

1 Komen

Comments are closed.