Home Nasional JPA kaji cadangan waktu empat hari bekerja

JPA kaji cadangan waktu empat hari bekerja

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berucap pada Majlis Pelancaran Modul Integriti Penguat Kuasa (MIP) di Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengkaji cadangan pelaksanaan empat hari waktu bekerja di negara ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, satu pasukan telah ditubuhkan oleh JPA untuk melihat dan meneliti bidang sesuai dan jumlah waktu kerja yang relevan boleh dilaksanakan dalam cadangan tersebut.

“Kita perlu melihat jumlah waktu bekerja dan tengah buat kajian kerana ada juga tuntutan pelbagai pibhak untuk kerajaan mengkaji semula tempoh empat hari bekerja.

“Kita telah tubuh satu pasukan untuk melihat bidang mana yang sesuai dan jumlah waktu bekerja untuk pelaksanaan itu (empat hari bekerja).

“Ada waktu bekerja minimum dan maksimum seperti mana termaktub dalam akta pekerja..jadi kita perlu mematuhinya.. kita kini sedang minta Bahagian Dasar dan JPA kaji perkara ini (bekerja empat hari) dan akan keluarkan kenyataan sama ada boleh atau tidak,”katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas hadir melancarkan modul Integriti Penguatkuasa di Institut Integriti Malaysia petang tadi.

Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Mengulas lanjut dalam soal berkaitan, beliau menambah, bidang kerja sekarang sudah menjadi kepelbagaian yang mana waktu pandemik memaksa bekerja dari rumah tanpa mengetahui tempohnya sampai bila.

Maka, adalah penting untuk JPA menentukan bidang mana dan jumlah hari bekerja beserta masa rehat yang diperlukan dan semua perkara berkenaan harus diperhalusi semula sebelum mengambil keputusan jumlah hari bekerja.

“Lagipun ini melibatkan rate for the job (kadar pekerjaan) yang perlu dikaji secara teliti membabitkan pulangan dari segi pelaburan sama ada sesuai dan boleh dilaksanakan atau tidak, tetapi mengikut kesesuaian bidang,” katanya.

Ditanya mengenai jangka masa yang diperlukan untuk mendapatkan hasil kajian, beliau berkata, ia tidak lama.

“Ia sekejap je (kaji empat hari bekerja)..cuma kita kena lihat jumlah waktu bekerja yang terlibat. kalau hendak memanjangkan tempoh waktu pula, kita perlu kaji secara mendalam…di luar negara dilaksanakan tapi ikut bidang yang sesuai.- MalaysiaGazette