Home Nasional KPLB naik taraf capaian internet rendah di institusi Mara

KPLB naik taraf capaian internet rendah di institusi Mara

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap pada sidang media selepas Sambutan Hari Pendidik MARA 2022 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengenal pasti beberapa buah institusi di bawah Majlis Amanah Mara (Mara) yang mempunyai jaringan internet yang rendah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerja-kerja menaik taraf jaringan internet di kawasan-kawasan yang dikenal pasti itu akan dilakukan tidak lama lagi.

“Kalau ada 55 buah MRSM, IKM, Kolej Profesional MARA semua ada jaringan internet tapi ada tempat yang mempunyai jaringan internet yang rendah dan ada yang mempunyai jaringan internet yang tinggi.

“Jadi tempat yang mempunyai jaringan internet yang rendah sudah dikenal pasti malah Mara pun sudah turut kenal pasti, kita nak naik taraf yang itu sahaja,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Pendidik Mara 2022 di ibu negara, hari ini.

Hadir pada majlis Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB (Dasar), Datuk Che Murad Sayang Ramjan; Timbalan Ketua Setiausaha KPLB (Pembangunan), Mas Rizal Mohd Hilmi dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Mahdzir sebelum ini berkata, kementeriannya bercadang meningkatkan capaian internet di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menjelang pertengahan tahun hadapan.

Jelasnya, perkara itu sedang dalam perbincangan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk bekerjasama dengan badan berkaitan kerajaan untuk menjayakan program tersebut. –