Home Nasional Umat Islam perlu kembali kepada tuntutan agama jika berselisih faham

Umat Islam perlu kembali kepada tuntutan agama jika berselisih faham

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sambil diiringi Setiausaha Agung Liga Muslim Dunia, Sheikh Dr. Mohammad Abdul Kareem Al-Issa (tengah) bersalaman dengan sebahagian deligasi yang hadir pada Majlis Perasmian 'Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022' di Sunway Resort, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 2022.

PETALING JAYA – Umat Islam perlu kembali kepada tuntutan agama apabila berlakunya sesuatu perselisihan faham, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, sebarang perbezaan pendapat yang timbul perlu diselesaikan secara berhemah dan beretika.

Menurut beliau, bibit-bibit perpecahan boleh ditangani sekiranya umat Islam kembali kepada ajaran yang paling asas iaitu berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah.

“Mukjizat al-Quran secara keseluruhan menyerlahkan semangat kesatuan dan salah satu falsafah kesatuan yang kerajaan pilih ialah Keluarga Malaysia iaitu satu istilah yang bertepatan dengan ajaran dari al-Quran dan sunnah Rasulullah.

“Konsep Keluarga Malaysia ini mampu disempurnakan oleh para ulama dan ilmuwan Islam dengan memberi pendekatan erti kata kesatuan melalui Konsep Keluarga berlandaskan Islam.

“Kerajaan sedar ulama dan ilmuwan Islam memainkan peranan yang penting bagi memastikan landasan yang dipilih bertepatan dengan jalan yang lurus iaitu siratul mustaqim.

“Justeru, kerajaan sentiasa mengalu-alukan pandangan dan nasihat ulama serta ilmuwan Islam demi kesejahteraan Keluarga Malaysia di dunia dan di akhirat,” katanya ketika berucap pada Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Persidangan selama sehari itu mengumpulkan kesemua barisan 14 mufti yang berkongsi lebih lanjut berkaitan fiqh al-ta’ayush.

Dianggarkan kira-kira 1,000 para ulama dan ilmuan dari 20 buah negara termasuk Kemboja, Thailand, Indonesia, Bangladesh serta Pakistan terlibat dalam persidangan tersebut.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menambah, perpaduan dan kesatuan ummah perlu menjadi keutamaan umat Islam seperti yang dianjurkan oleh prinsip Fiqh Keutamaan (fiqh awlawiyyat) berikutan meningkatnya ancaman terhadap kesucian Islam kebelakangan ini.

Jelas beliau, pengukuhan perpaduan dan kesatuan ummah hendaklah berasaskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan dakwah dan penyampaian ajaran Islam bertepatan dengan kehendak Islam, bersifat wasatiyah dan memberi rahmat kepada sekalian alam.

“Umat Islam perlu disedarkan bahawa usaha merealisasikan perpaduan ini perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi.

“Tumpuan utama adalah kemaslahatan ummah serta menolak fahaman pelampau dan ekstrem.

“Justeru, semua ulama dan ilmuwan Islam perlu berbincang, bermuafakat, bersatu dan menggembleng pemikiran masing-masing bagi menghasilkan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi umat Islam seluruh dunia.

“Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai satu ummah,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Islam merupakan agama yang membawa rahmat dan meliputi keseluruhan aspek kehidupan manusia.

Malah ujarnya, Islam sentiasa menyeru kepada kebaikan, meningkatkan solidariti serta mahabbah (kasih sayang sesama manusia) selaras dengan konsep Tasamuh yang bermaksud ‘tolerans’ atau berlapang dada.

“Konsep ini turut bermakna bersikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi, telah ditekankan oleh Kerajaan supaya menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Ini kerana konsep Tasamuh turut mengutamakan nilai kebersamaan, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.

“Tasamuh mampu menjadi alat untuk menyatupadukan warga Islam dan dunia, seharusnya konsep ini diterapkan dalam kalangan negara yang mempunyai bangsa dan budaya majmuk dan diperluaskan sehingga ke peringkat dunia,” katanya. – MalaysiaGazette