Home Nasional Agong perkenan pelantikan lapan anggota baharu Suhakam

Agong perkenan pelantikan lapan anggota baharu Suhakam

Dr. Rahmat dilantik sebagai pengerusi baharu Suhakam untuk sesi 2022-2025.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik lapan anggota baharu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi sesi 2022 hingga 2025.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkata, pelantikan itu dibuat mengikut Subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

Katanya, anggota baharu itu ialah Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Dr. Chew Chee Ming (Sarawak), Datuk Mary@Mariati Robert (Sabah), Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican; Nazira Abdul Rahim dan Ragunath Kesavan.

“Lantikan untuk tempoh tiga tahun ini berkuatkuasa 22 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, selaras dengan Subseksyen 6(1) Akta 597, YDPA juga telah memperkenankan pelantikan Dr. Rahmat sebagai Pengerusi Suhakam.

“Beliau adalah seorang pakar perundangan dan hak asasi manusia daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Semoga lantikan yang inklusif ini akan lebih memperkasakan Suhakam dalam melaksanakan aktivitinya demi kesejahteraan negara,” katanya. – MalaysiaGazette