KUALA LUMPUR – Media diminta berlaku adil kepada pemimpin kerajaan terutama Perdana Menteri dengan menyiarkan berita bersifat positif seperti kenyataan berkaitan dengan kepentingan negara dan rakyat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, sebagai keluarga besar media, semua pihak harus berperanan dengan tidak menambahkan kegawatan dalam sesuatu isu semata-mata untuk sensasi.
“Kita perlu teguh bersama dengan perbanyakkan berita yang tema positif dan yang konstruktif.
“Tak apa nak adakan (mainkan) sikit politik dan semasa tapi kena adillah. Kalau berita sampingan bukan bersifat kepentingan nasional dan hanya bersifat individu atau konflik individu, tidak perlulah perbesarkan secara berlebihan.
“Sebab kalau kita buat begitu nanti, jika ada atau berlaku isu nasional yang penting, kita senyapkan tapi isu pendapat individu kita perbesarkan,” katanya selepas melancarkan Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Jemaah Menteri berbincang pasal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU -15).
Menurut Annuar, laporan itu adalah palsu dan perjumpaan Perdana Menteri dengan Kabinet setiap minggu hanya berbincang mengenai isu rakyat bukan PRU-15.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, apa yang diperhatikannya kebelakangan ini, media lebih suka mengambil maklumat dari satu pihak dan sumber itu pula hanya orang biasa.
“Minta maaf ya, saya perhatikan sekarang ini kita (media) ambil satu sumber berita daripada orang yang tarafnya biasa tapi media beri status orang itu seperti perdana menteri sedangkan perdana menteri bercakap perkara yang besar disenyapkan.
“Saya rasa kita perlu letak sesuatu itu pada kedudukan. Kalau orang itu tidak ada autoriti pun nak bercakap mengenai partinya, maka beritanya kena setakat itu sahajalah.
“Berbeza kalau seorang presiden keluarkan kenyataan tapi saya tengok sekarang ini orang yang tak ada apa-apa jawatan langsung pun diberi tempat dan diperbesarkan,” katanya. – MalaysiaGazette