Home Politik Gugurkan kes: Najib dakwa Anwar tak berkata benar

Gugurkan kes: Najib dakwa Anwar tak berkata benar

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak berkata benar dalam dakwaan Datuk Seri Najib Razak meletakkan syarat kes mahkamah mensabitkannya “tidak diteruskan” untuk menyokong Presiden PKR itu menjadi perdana menteri.

Najib berkata, beliau sama sekali tidak pernah meminta sesiapa untuk mengugurkan kes yang dihadapinya.

“Langsung tak benar apa Nuar (Anwar)  kata. Saya tak pernah minta sesiapa untuk gugurkan kes saya melalui pengaruh politik,” kata bekas perdana menteri itu dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar mendakwa, Najib ada memberi surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong beliau menjadi perdana menteri namun dengan syarat kes mahkamah mensabitkan bekas perdana menteri itu “tidak diteruskan”.

Ketua pembangkang itu bagaimanapun enggan menuruti kehendak Najib dan membayangkan ia sebagai punca dia gagal mendapat sokongan mencukupi.

Sementara itu, Najib membayangkan segala tindakannya adalah berlandaskan keputusan yang dibuat oleh parti.

“Saya adalah orang parti dan saya akan sentiasa taat kepada keputusan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pekan tersebut melahirkan rasa curiganya terhadap dakwaan Anwar bahawa beliau mempunyai sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk diangkat menjadi perdana menteri.

Najib berkata, sekiranya Anwar mempunyai sokongan sudah tentu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah akan melantik beliau.

“Tapi saya pelik. Sekiranya apa yang Anwar kata adalah benar bahawa dia ada sokongan 120 ahli Parlimen, kenapa pula Istana Negara tidak lantik dia jadi PM?

“Dan kenapa dia buktikan sokongan ini melalui undian dalam Parlimen – termasuk dengan cara menggagalkan undian bajet 2021 ketika itu?” tanya Najib.

Isu sokongan terhadap Anwar menjadi perdana menteri ditimbulkan oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi yang digugurkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini.

Anwar sebelum ini mengesahkan pendedahan yang buat oleh Tajuddin dan berkata; “Apa berlaku selepas itu adalah selepas ditandatangani saya diminta untuk memberi kepastian bahawa urusan mahkamah terutama melibatkan Najib tidak akan diteruskan dan saya harus guna kuasa saya selaku perdana menteri untuk memastikan ini tidak diteruskan.

“Saya tidak bersedia untuk melakukan itu. Oleh kerana keputusan tegas saya itulah maka Najib mengusulkan calon lain pada saat akhir dan menafikan saya,” katanya dalam satu majlis di Port Dickson baru-baru ini.

Anwar turut mendedahkan Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah antara 15 pemimpin UMNO yang membuat akuan bersumpah menyokong beliau sebagai perdana menteri.

Katanya, walaupun jumlah sokongan ahli Parlimen ketika itu cukup 120 orang dan membolehkan beliau menjadi perdana menteri namun Pakatan Harapan (PH) menetapkan untuk menolak SD daripada Najib dan Zahid.

Pada 13 Oktober 2020, Istana Negara dalam kenyataan berkata, Anwar sekadar mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau kepada Istana Negara tanpa mengemukakan sebarang senarai nama mereka untuk mengukuhkan dakwaan itu.

Susulan tindakan itu, Agong menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sekarang rakyat sudah faham kegagalan Anwar jadi PM kerana tak mau ikut syarat klaster mahkamah .

    Alasan Anwar lebih menasabah dari alasan Najib.

Comments are closed.