KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Majlis Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) memastikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) MTUC yang dijadualkan esok dan lusa ditangguhkan.
A. Sivananthan yang mewakili Kesatuan Pekerja-Pekerja Tekstil dan Pakaian Johor berkata, ini kerana pemegang jawatan dalam MTUC didakwa melanggar beberapa peruntukan perlembagaan dan jika diadakan juga akan dianggap tidak sah.
Katanya, TDC hanya boleh diadakan dalam tempoh Oktober hingga Disember iaitu tahun ia perlu mengadakan persidangan.
“Kami menasihatkan RoS supaya berhenti daripada merestui pelbagai pelanggaran perlembagaan oleh kepimpinan semasa MTUC.
“Malah kehadiran dan ucapan Perdana Menteri pada persidangan ini tidak dibentangkan di mana-mana mesyuarat Majlis Am. Jadi, kami berpendapat TDC ini mesti ditangguhkan.
“Jika tidak, Perdana Menteri bukan sahaja akan menghadiri TDC yang tidak sah tetapi dilihat merelakan pencabulan perlembagaan MTUC oleh kepimpinan semasa,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Baru-baru ini, beberapa anggota MTUC yang diketuai bekas presidennya, Abdul Halim Mansor telah memfailkan injunksi untuk menghalang kepimpinan sedia ada daripada mengadakan mesyuarat Ahad ini.
Menurut sumber MTUC, peguam mewakili Halim telah memfailkan afidavit pada Selasa lalu bersama perakuan segera dan mereka menjangkakan mahkamah membuat keputusan hari ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor dalam maklum balasnya berkata, kongres itu telah mengadakan TDC mulai esok hingga 3 Julai ini.
Katanya, tarikh itu dimuktamadkan secara majoriti pada Mesyuarat Majlis Am MTUC 20 Mac lalu.
Menurut A. Sivananthan, banyak perlanggaran perlembagaan kesatuan berlaku sebelum ini seperti perwakilan dinafikan Laporan Tiga Tahunan MTUC dan penyata akaun diaudit untuk tahun 2020, 2021 dan 2022 yang jelas melanggar Fasal 7 Peraturan 6(8).
Begitu juga, katanya, Setiausaha Agung telah melanggar Fasal 7 Peraturan 6(13) iaitu gagal menghantar agenda lengkap kepada ahli gabungan dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan.
Malah, kata beliau, banyak lagi pelanggaran dilakukan seperti Fasal 10 (8) iaitu Setiausaha Kewangan tidak membentangkan Penyata Akaun pada setiap prosiding mesyuarat suku tahunan Majlis Am.
“Antara pelanggaran lain ialah Fasal 11, iaitu Majlis Am tidak menerima sebarang penyata akaun tahunan MTUC yang telah diaudit untuk tahun 2020, 2021 dan 2022 dan ini juga tidak dibentangkan kepada kesatuan gabungan untuk dibahaskan.
“Semua pelanggaran ini dilakukan tanpa kelulusan RoS, tidak seperti penggal sebelumnya apabila RoS mengarahkan hanya pemilihan diadakan disebabkan pandemik.
“Banyak pelanggaran telah dilakukan oleh pimpinan MTUC yang memberi gambaran bahawa pemilihan pucuk pimpinan telah diutamakan berbanding perkara lain,” katanya. – MalaysiaGazette