KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melanjutkan tempoh lesen sementara KL Prihatin untuk peniaga-peniaga Program Wilayah Bebas Berniaga (PWBB) mulai 1 Julai sehingga 31 Disember 2022.
Menurut kenyataan DBKL, penyambungan lesen itu akan disusuli dengan beberapa penambahbaikan yang akan dilaksanakan.
Bayaran fi lesen dikenakan kepada setiap peniaga untuk pembaharuan lesen iaitu RM20 sebulan dan caj perkhidmatan sebanyak RM30 sebulan bertujuan untuk menampung kos-kos pembersihan dan pengurusan, ujarnya.
“Malah waktu operasi perniagaan sebelum ini dibenarkan untuk sepanjang hari kini dihadkan kepada dua sesi sahaja bagi mengawal keadaan semasa di tapak niaga dan juga untuk memudahkan kerja pembersihan dilaksanakan dengan lancar.
“Oleh demikian para peniaga boleh memilih satu sesi berniaga sahaja dengan tertakluk kepada kesesuaian lokasi yang mana sesi pertama adalah bermula 7 pagi hingga 7 petang manakala sesi kedua dilaksanakan bermula 6 petang hingga 12 tengah malam.
“Saiz tapak atau kanopi yang dibenarkan untuk setiap peniaga hanya 8×8 kaki sahaja selaras dengan kelulusan yang diberikan sebelum ini dan sebarang penambahan saiz gerai di tapak tidak dibenarkan sama sekali untuk memudahkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan,” kata kenyataan tersebut.
Dalam pada itu DBKL berkata, pembaharuan lesen bagi aktiviti perniagaan barangan basah seperti ikan, ayam dan sayur tidak dibenarkan dan para peniaga dikehendaki mengemukakan permohonan untuk berniaga di pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan pasar DBKL atau mereka dikehendaki menukar jenis jualan selewat-lewatnya pada 30 September ini.
Katanya, tindakan penguatkuasaan pelanggaran syarat-syarat lesen seperti meninggalkan barang di tapak, pembinaan struktur kekal dan saiz kanopi melebihi had yang dibenarkan akan dilaksanakan dan pemegang lesen dikehendaki mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti yang dinyatakan di dalam lesen.
Menurut kenyataan itu, penyusunan atau pemindahan penjaja akan dilakukan di lokasi tumpuan atau hotspot yang menyebabkan kacau ganggu atau aduan di lokasi yang dikenalpasti oleh pihaknya.
“Oleh demikian DBKL memohon kerjasama semua pemegang lesen untuk mematuhi arahan yang ditetapkan dari semasa ke semasa sekiranya terlibat.
“Antara kaedah penyusunan atau pemindahan yang dilaksanakan adalah pengisian pusat penjaja, pasar berbangunan DBKL (tertakluk kepada kekosongan), pengisian di pasar malam atau pasar terbuka sedia ada dan penempatan semula penjaja di lokasi yang dibenarkan oleh DBKL.
“Untuk kaedah pembaharuan lesen sementara DBKL, pemegang lesen berkenaan diberi tempoh sehingga 15 Julai ini untuk mengemukakan borang permohonan pembaharuan lesen secara dalam talian melalui laman sesawang https://elesen.dbkl.gov.my atau hadir ke Kaunter Lesen Berpusat di Tingkat 5, Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan di Jalan Raja Laut.
“Semakan keputusan permohonan pembaharuan lesen boleh dibuat melalui https://elesen.dbkl.gov.my mulai 1 Ogos hingga 15 Ogos 2022 dan setiap pemegang lesen dikehendaki menjelaskan bayaran fi lesen dan mencetak lesen untuk permohonan yang telah diluluskan manakala tempoh lesen adalah mulai 1 Ogos hingga 30 September membabitkan RM100 sahaja
“Bagi permohonan pembaharuan lesen sehingga 31 Disember ini akan dibuka mulai 15 September 2022 manakala bayaran pembaharuan fi lesen dikenakan secara berperingkat sebagai membantu mengurangkan beban kewangan peniaga,” menurut kenyataan itu. -MalaysiaGazette