KUALA LUMPUR – Nama penyanyi, Camelia tular menerusi aplikasi TikTok selepas wanita itu kembali membuat kemunculan bersama artis bersuara lunak kelahiran Akademi Fantasia, Bob mencuri perhatian ramai.
Dalam rakaman video, kelihatan Camelia yang pernah popular dengan lagu Rindu Padanya sedang berjalan bersama Bob manakala satu lagi video pula sedang berduet bersama.
Difahamkan, kedua-dua penyanyi yang berasal dari Sarawak itu diberi peluang berduet menerusi lagu projek khas, Simfoni Tuanku ciptaan Sharnaz Saberi.
Lagu berkenaan dicipta khusus kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai hadiah daripada kerajaan Sarawak.
Namun apa yang menjadi sebutan netizen, kecantikan pemilik nama penuh Dayang Nur Camelia Abang Khalid itu juga dipuji ramai walaupun 15 tahun menyepi.
Perkongsian sama turut dibuat jurusolek, Khir Khalid yang menata rias Camelia.
Terdahulu, Camelia, 48, pernah mencipta nama sebagai penyanyi selama beberapa tahun, sebelum mengambil keputusan meninggalkan dunia hiburan dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan usahawan ternama, Datuk Seri Akhbar Khan dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Aisha Asmara Khan, 14, menerusi perkahwinan keduanya itu. – MalaysiaGazette