KUALA LUMPUR – Tindakan beberapa pihak yang mendesak Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan sebagai Duta Besar ke Indonesia ibarat mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana pelantikan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu telah mendapat perkenan baginda dan kelulusan Jemaah Menteri.
“Janganlah kita persoalkan kuasa Agong pula, Agong sudah perkenan, kita hendak tarik balik pula. Henda desak Agong, sebab Agong yang beri perkenan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan persidangan perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) 2022 kali ke-42 di Universiti Malaya di sini hari ini.
Ismail Sabri menberitahu, watikah pelantikan Duta Besar ke Indonesia itu sepatutnya diserahkan kepada Tajuddin namun ditangguhkan kerana keadaan Agong yang gering sebelum ini.
“Sepatutnya sudah serah watikah (pelantikan) hari itu, tetapi Agong gering. (Tetapi) selepas ini akan serahkan,” katanya.
Baru-baru ini, pelbagai pihak khususnya dalam kepimpinan UMNO mendesak Tajuddin digugurkan sebagai Duta Bsar Malaysia ke Indonesia kerana tindakannya menyerang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka yang disifatkan sebagai “memalukan”.
Ditanya sama ada beliau yang juga Naib Presiden UMNO bersedia untuk menjadi “orang tengah” mendamaikan keadaan, Ismail berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana semuanya sudah selesai.
“Tidak timbul orang tengah sebab perkara itu orang sudah cakap,” katanya. – MalaysiaGazette