KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini dinasihatkan agar tidak panik dan risau dengan kenaikan harga barangan seperti ayam, minyak masak kerana kerajaan masih memberi subsidi bagi menampung kos hidup rakyat.
Exco Pemuda UMNO, Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, bukan Malaysia sahaja terkesan dengan inflasi ini, malah jiran Indonesia turut mengalaminya.
Mana-mana negara pun, semuanya sedang terkesan dengan peningkatan inflasi. Lebih memburukkan keadaan, satu dunia sedang mengalami stagflasi iaitu inflasi tinggi dan pertumbuhan lembap.
Secara dasarnya, memberi peruntukan terhadap subsidi adalah perkara yang amat besar untuk dilakukan kerajaan kerana ianya melibatkan kos yang tinggi.
”Nak tak nak kerajaan perlu buat keputusan berani dan cekap iaitu tingkatkan subsidi. Kalau tak buat, rakyat akan marah bila berlakunya kenaikan harga makanan dan bahan api,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kerajaan membelanjakan sebanyak RM77.3 bilion untuk subsidi iaitu RM37.3 bilion (petroleum, LPG & diesel), RM4 bilion (minyak masak paket), RM600 juta (minyak masak botol), RM6.5 bilion (tarif elektrik), RM900 juta (harga ayam dan telur).
Selain itu, RM1.2 bilion (bntuan tunai makanan asas), RM11.7 bilion (Bantuan Keluarga Malaysia dan bantuan tunai lain), RM2 bilion (bantuan pertanian) dan RM13.1 bilion (lain-lain subsidi).
Oleh itu, menurut Najmil, rakyat masih dapat berbelanja seperti biasa tetapi lebih baik jika berjimat cermat.
”Peningkatan kos sara hidup rakyat telah ditanggung kerajaan. Manfaatnya, ia memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah.
”Walaupun perbelanjaannya tinggi, kerajaan tetap komited demi Keluarga Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette