Home Politik Kalau bukan angkara Muhyiddin, kita dah selesai PRU15 – Razlan

Kalau bukan angkara Muhyiddin, kita dah selesai PRU15 – Razlan

Temubual SkopMG Ahli Majlis Tertinggi UMON, Datuk Mohamad Razlan Raffi di Studio MG, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 (PRU15) sepatutnya sudah dilakukan lebih awal, tetapi terganggu angkara Tan Sri Muhyiddin Yassin, demikian menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Razlan Mohd Rafii.

Beliau berkata, kemelut yang melanda politik negara juga disebabkan Muhyiddin yang tidak bijak mengurus negara sejak menjadi Perdana Menteri hingga sekarang sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tidak boleh dinafikan kenyataan saya ini. Dua tahun kita hidup dalam pandemik dulu, kesannya terasa hingga sekarang.

“Masih banyak bisnes tutup kerana ketidakcekapan pengurusan kerajaan pimpinan beliau termasuklah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz,” katanya ketika ditemu bual menerusi program SKOP MG.

Beliau berkata, dengan barisan Kabinet yang ada sekarang, rakyat boleh menilai menteri daripada parti mana yang kurang cekap dalam mentadbir.

“Harga barang naik, pendidikan dan isu perumahan, siapa menterinya?

“Kerana itu rakyat desak untuk pilihan raya segera, pulangkan mandat kepada rakyat dan biar rakyat tentukan.

“BN belum tentu boleh menang, Pakatan Harapan juga tidak pasti boleh menang, Perikatan Nasional atau mana-mana parti sekarang pun sama sahaja,” katanya lagi.

Beliau mendakwa, kegagalan Muhyiddin itu telah membuatkan keadaan bertambah teruk.

“Memang betul Perdana Menteri daripada UMNO, tetapi apabila kerajaan campuran ini, susahlah.

“Sebab itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa membuat pengumuman sendiri terhadap beberapa isu di Perhimpunan Agung UMNO kerana menteri senyap.

“Kalau sayangkan rakyat, menteri kena cekap, kalau semua nak Perdana Menteri, baik bubar (Parlimen) sahaja,kan,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, pilihan raya adalah cara terbaik untuk menstabilkan kembali ekonomi dan politik negara.

Tempoh penggal PRU14 akan berakhir pada Mei 2023 namun disebabkan banyak perkara berlaku dan dikatakan sukar mendapat kata sepakat, banyak desakan timbul untuk diadakan PRU15 lebih cepat.

Ramai yang mengjangkakan PRU15 akan diadakan selepas Belanjawan 2023 namun ramai juga mahukan ia diadakan lebih awal daripada itu. – MalaysiaGazette