KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sepatutnya mengekalkan tempoh pentadbiran negara sehingga penggal habis.
Malah katanya sekiranya beliau adalah Perdana Menteri, tarikh paling sesuai untuk diadakan PRU15 adalah Jun tahun depan.
“Kalau saya PM (Perdana Menteri), saya mahu sampai habis penggal, bulan 6 tahun depan,” katanya menjawab soalan media mengenai tarikh paling sesuai untuk diadakan PRU15.
Mohamad antara pemimpin pembangkang yang mahukan PRU15 diadakan selepas penggal PRU14 tamat, tahun hadapan.
Selain Mohamad, Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad juga membuat kenyataan bahawa PRU15 sepatutnya diadakan selepas penggal kerajaan pimpinan Ismail Sabri tamat.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pertimbangan serius perlu diambil kira memandang kepada situasi pandemik Covid-19 yang masih ada di negara ini dan akan mengakibatkan penularan jangkitan yang lebih dasyat.
Ditanya mengenai Memorandun Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang, Mohamad berkata, perkara itu tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk mengadakan PRU15.
Jelasnya, dalam MoU berkenaan tidak mempunyai istilah tamat tempoh kerana kedua-dua pihak hanya bersetuju untuk tidak mengadakan PRU15 sebelum MoU tersebut tamat.
“Tidak ada istilah tamat, hanya katakan tidak ada pilihan raya sebelum Julai.
“Tidak ada sebut tamat bila, jadi kalau tidak ada pilihan raya bulan Julai, saya rasa serah pada PM nak lanjut atau tidak tapi tak sebut tamat bila,” katanya lagi.
Melalui MoU yang ditandatangani pada 13 September tahun lalu antara kerajaan Persekutuan dan PH, kedua-dua pihak bersetuju membentuk kerjasama dwipartisan membabitkan pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
Untuk rekod, April lalu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan MoU antara kerajaan dan pembangkang yang berakhir pada 31 Julai ini tidak akan diteruskan lagi.
Malah Ismail Sabri turut akur akan dengan keputusan tersebut. – MalaysiaGazatte