KUALA LUMPUR – Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi amaran kepada Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili agar tidak bermain api kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengkhianati kawan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berkata, PBS sudah berkali-kali mengkhianati BN, justeru parti tersebut diingatkan jangan sesekali menjolok sarang tebuan.
“Kalau dijolok padah rasanya, sebab UMNO dan BN bukan melukut di tepi gantang, kita parti yang kuat, kita parti keramat, dia yang melukut di tepi gantang,” katanya disambut tepukan dan sorakan hadirin pada majlis penutup Konvensyen BN Sabah hari ini.
Bung Moktar berkata demikian dengan penuh emosi bagi mengulas kenyataan Maximus yang mendakwa ada komponen BN menggunakan perkhidmatan pendatang asing tanpa izin pada kongres perwakilan tahunan parti baru-baru ini.
Malah, dalam ucapannya itu, beliau dengan cukup sinis berkata: “BN memerintah, dia pun ikut memerintah, satu kerusi Parlimen pun nak jadi menteri juga, porah”.
Bung Moktar dengan nada tegas turut mendakwa PBS sebelum ini melakukan banyak perkara yang menghancurkan negeri.
“Saya belum lagi bongkar PBS ini, banyak lagi dia buat untuk menghancurkan Sabah ini, tunggulah dekat-dekat pilihan raya, saya akan bongkar.
“Apabila dia yang mula gendang, sekarang kita palu dia punya gendang, dia salah orang itu, dia ingat dia boleh ugut saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette