PENAMPANG – Barisan Nasional (BN) tidak akan membenarkan sebarang ‘political cornering’ yang berlaku terhadap gabungan politik itu di Sabah sebelum ini berulang ketika membincangkan kerjasama mengenai pengagihan kerusi Parlimen dengan parti lain untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata, perkara tersebut berlaku semasa Pilihan Raya Negeri pada September 2020 dan situasi itu tidak menguntungkan BN.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan political cornering.
“Saya tidak fikir kita perlu menempuh satu lagi political cornering, ia langsung tidak menguntungkan kita, kita harus lebih berhati-hati dan mesti berada dalam kedudukan yang lebih berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Konvensyen BN Sabah 2022 yang dihadiri kira-kira 5,000 orang. Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Kurup dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ahmad Zahid juga berkata, BN akan menyerahkan kepada BN Sabah untuk berbincang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menjelaskan beberapa isu termasuk pengagihan kerusi pada PRU15.
“Bagaimanapun, saya percaya dinamik politik di Sabah harus dilayani, saya rasa mereka (BN Sabah) melaporkan kepada kita jika masa mengizinkan mereka memperoleh keputusan daripada pemimpin negara.
“Sudah semestinya Tok Mat (Mohamad) dan saya akan berbincang dengan Bung Moktar serta pimpinan BN Sabah,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, dalam melakukan persediaan menghadapi PRU15, BN Sabah perlu menterjemah sokongan rakyat terhadap gabungan tersebut ke dalam bentuk undi berbanding sekadar bermain dengan emosi tanpa membuat sebarang kajian politik mengenai kehendak rakyat di negeri itu. – Bernama