Home Nasional Dua beranak Orang Asli maut dalam kemalangan

Dua beranak Orang Asli maut dalam kemalangan

Seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli dan bapanya maut selepas dipercayai tercampak ke dalam semak apabila motor dinaiki bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pagi tadi. Foto bomba

IPOH – Seorang kanak-kanak dan bapanya maut apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak dalam kenyataan berkata kanak-kanak itu yang dianggarkan berusia 12 tahun dan bapanya, 62, dipercayai berketurunan Orang Asli, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Empat individu lain termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki kereta jenis Toyota Aphard hanya mengalami kecederaan, katanya.

“Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai menerima panggilan pada pukul 10.45 pagi tadi dan anggota bomba mendapati kedua-dua kenderaan itu bertembung dalam kemalangan itu sehingga mengakibatkan dua mangsa yang menaiki motosikal tercampak ke dalam semak,” katanya.

Katanya kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 11.50 pagi tadi.- BERNAMA