SHAH ALAM – Sekretariat Gabungan NGO Selangor membantah keras cadangan kerajaan negeri itu hendak merobohkan Stadium Shah Alam yang turut menempatkan kompleks sukan bagi daerah itu.
Tegas pengerusinya, Datuk Nazilah Idris, stadium berusia 28 tahun itu telah menjadi mercu tanda Selangor dan termasuk dalam senarai terbesar di Asia.
“Apabila kerajaan negeri bercadang hendak merobohkan stadium ini dengan kos yang juga tinggi, kami terkejut dan membuat bantahan sekeras-kerasnya.
“Kerajaan seharusnya memikirkan kebajikan rakyat Selangor yang hidup susah sekarang ini. Selesai masalah dan bantu rakyat dahulu dengan tragedi banjir di Taman Sri Muda yang belum selesai.
“Hari ini, dalam keadaan stadium yang masih lagi utuh, tidak perlu dirobohkan, tiba-tiba mahu dibina semula dengan kos yang difahamkan melebihi RM1 bilion menggunakan duit rakyat,” katanya pada Himpunan Selamatkan Stadium Shah Alam di pintu masuk utama stadium itu hari ini.
Semalam, media melaporkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak menafikan adanya cadangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam.
Bagaimanapun, Amirudin berkata, pihaknya akan menjelaskan secara terperinci mengenai cadangan pembangunan terbaharu stadium tersebut pada 16 Julai ini.
“Ia (meruntuhkan stadium) merupakan satu pilihan sejak dari awal lagi… Kita akan jelaskan kemungkinan pada 16 Julai bersempena hari pembukaan Stadium Shah Alam, sekarang masih pramatang tidak elok untuk saya huraikan sebab ia melibatkan perbincangan dengan banyak pihak,” katanya.
Menurut Nazilah, duit yang begitu banyak untuk kos membina baharu stadium itu sepatutnya boleh digunakan bagi menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat.
Katanya, Gabungan NGO itu akan menghantar memorandum kepada Menteri Besar di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini esok.
Sementara itu, Naib Pengerusi NGO-NGO Selangor, Mohd Ali Zakaria berkata, cadangan untuk membina stadium yang bersaiz lebih kecil daripada Stadium Shah Alam memang perbuatan tidak masuk akal.
Kata beliau, sehingga kini, penduduk di Selangor sekitar 10 juta dan empat juta daripadanya adalah yang minat bola sepak dan pelbagai jenis sukan.
“Kalau nak kecilkan stadium ini memang tak masuk akal, macam rumah kita sendiri, kalau bumbung bocor, lantai ada masalah takkan kita nak robohkan rumah, lepas tu bina rumah baru yang lebih kecil.
“Begitu juga dengan stadium ini, kalau kerajaan negeri nak bina baru yang lebih moden dan canggih, Selangor mempunyai banyak kawasan sama ada boleh di Dengkil, Sepang, Kuala Selangor atau Sungai Buloh.
“Rakyat Selangor perlukan Stadium Shah Alam ini sebab menyimpan banyak sejarah dan kenangan. Pasukan Manchester United (MU) dan Chelsea pernah bermain di stadium ini, malah sudah bertaraf antarabangsa. Kenapa nak roboh?” soalnya. – MalaysiaGazette