KUALA LUMPUR – Seorang lelaki melecur teruk selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah bangunan kedai tiga tingkat di Jalan Reko, Kajang dekat sini hari ini.
Kejadian itu dilaporkan berlaku tengahari tadi membabitkan sebuah kedai perniagaan DIY.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi negeri menerima panggilan kecemasan dari awam yang memaklumkan mengenai kebakaran lebih kurang pukul 1.08 tengahari tadi.
“Bertindak atas aduan itu, sepasukan anggota penyelamat dengan sebuah jentera pemadan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang telah bergegas ke lokasi sebelum tiba 1.13 tengahari tadi.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah premis kedai tiga tingkat DIY yang mana kebakaran berlaku 40 peratus di bangunan itu.
“Di bahagian setor tingkat 1 bangunan itu, seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pekerja premis itu telah terperangkap dan berjaya diselamatkan serta dibawa keluar dari bangunan yang terbakar itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa ditemui di laluan tangga kecemasan premis terbakar itu.
“Pemeriksaan lanjut mangsa berusia 35 tahun itu mengalami lecur 50 peratus di bahagian kepala dan badan serta tidak sedar diri.
“Api di bangunan itu bagaimanapun telah berjaya dikawal anggota bomba sekitar pukul 1.32 tengahari tadi. Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan segera,” tegasnya. – MalaysiaGazette