Home Politik UMNO kenal pasti calon heavyweight rampas Selangor – Zahid

UMNO kenal pasti calon heavyweight rampas Selangor – Zahid

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menandatangani plak perasmian Program Santai Mesra NGO Anak Muda Geng 18 di MSekin Wonderland, Sekinchan. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2022.

SEKINCHAN – UMNO akan mengenal pasti calon heavyweight parti itu khususnya bagi merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun calon parti itu perlu memiliki kriteria winnable, likeable dan acceptable namun akui memerlukan calon dalam kalangan Kabinet bagi memenangi PRU-15.

“Ya. kita yakin itu satu kriteria yang benar (heavyweight) tetapi ianya sangat subjektif.

“Pastinya saya bersetuju dengan pandangan itu dan kita akan mengenal pasti calon-calon heavyweight,” katanya kepada pemberita di MSekin Wonderland hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Hari Keluarga Parlimen Sungai Besar dan program santai anak muda Geng 18.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Terdahulu Noh menyambut baik cadangan pemimpin veteran UMNO supaya calon heavyweight diberi peluang bertanding di Selangor.

Menurut beliau, calon-calon muda dan mempunyai kredibiliti tinggi seperti Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz boleh diberi peluang menjadi calon bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette