KUALA LUMPUR – Pelakon, Putera Amaris ingin meneruskan usaha bergelar individu yang berjaya dan kaya demi membantu lebih ramai golongan susah.
Amaris, 37, berkata, sejak empat tahun menggerakkan kerja amal bersama pasukan sendiri, dia tidak pernah berhenti berdoa agar Allah mengurniakan rezeki yang melimpah ruah supaya sasaran untuk membantu mereka yang memerlukan dapat dicapainya.
“Saya buat kerja amal atau infaq ini, semuanya kerana Allah dan demi nak membantu orang susah. Untuk itu, saya memang tetapkan dalam diri dan kepala ‘aku kena kaya’ supaya boleh membantu lebih ramai orang yang memerlukan.
“Dalam masa sama, saya bertuah kerana isteri juga adalah tulang belakang dan pemberi semangat kepada saya dalam menggerakkan program infaq, bersama-sama dengan pasukan sendiri.
“Saya pun belum lagi bergelar jutawan tetapi saya berdoa dan mengharapkan doa semua orang agar saya dikurniakan rezeki lebih untuk sama-sama saya kongsikan dengan orang yang susah,” katanya.
Amaris berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen Pelaris Challenge by Soleque Cosmetics yang diadakan di sini semalam.
Amaris yang dilantik sebagai ikon kempen itu menjelaskan, program infaq terdahulu menerusi kempen Sama-Sama Kenyang dengan kerjasama Pertubuhan Dapur Pasak Kuala Lumpur (Dapur Pasak) masih diteruskan.
“Walaupun tanggungjawab kini bertambah menerusi kempen Pelaris Challenge ini, ia tak membuatkan saya rasa penat atau terbeban pun malah rasa seronok dan teruja sebab ia juga berkaitan dengan program infaq dan amal khususnya golongan bumiputera.
“Saya tidak cukup rehat atau tak cukup tidur pun tetap saya nak buat. Mudah-mudahan Allah panjangkan umur untuk saya teruskan kerja-kerja amal ini dan harap Dia juga izikankan yang terbaik untuk usaha-usaha yang dijalankan,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai Pelaris Challenge, ia adalah usaha sama di antara Amaris dengan Soleque Cosmetics Malaysia dan Persatuan Aspirasi Primadona Putrajaya.
Ia digerakkan selama sebulan bermula semalam dan akan berakhir pada 3 Ogos depan.
Menurut Amaris, program itu adalah cetusan idea daripada Soleque Cosmetics untuk membantu dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia terutama golongan wanita muda dalam menambahkan pendapatan dan kewangan.
Program ini menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM500,000. Pemenang akan diumumkan selepas tamat program. Pendaftaran boleh di buat di www.pelaris-challenge.com.
Seiring dengan penganjuran itu, turut digerakkan ialah Program Infaq Wanita Muda Soleque x Putra Amaris dalam usaha membantu wanita muda, ibu tunggal dan golongan B40 yang memerlukan dengan meliputi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. – MalaysiaGazette