KUALA LUMPUR – Gogopasar, platform e-dagang yang mengintegrasi rantaian perniagaan tani inovatif menjalinkan kerjasama dengan Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional (KOPENAS) menerusi Platform Elektronik Transformasi Sekolah (STEP) bagi membekal barang makanan kepada 82 sekolah.
Ketua Pegawai Eksekutif Gogopasar, Lynn Alias berkata, plafform e-dagang itu yang juga anak syarikat FGV Holdings Berhad (FGV) kini dapat mengakses terus ke sekolah dan dapat memberi fokus kepada sasaran pelanggan yang disediakan oleh KOPENAS yang bertindak sebagai pelabur.
Jelas beliau, STEP akan membolehkan barangan makanan akan dihantar terus ke sekolah sasaran bagi memudahkan keperluan pelanggan membeli-belah.
“Gogopasar menyasarkan usaha bagi membantu meringankan beban ibu bapa dan guru dengan menyediakan satu platform sehenti untuk dapat membeli keperluan asas keluarga seperti barangan runcit menerusi kedai dalam talian termasuk penghantaran terus ke sekolah.
“Kelebihan Gogopasar adalah sebagai platform rantaian bekalan e-runcit inovatif dan mempunyai model perniagaan yang unik bagi menjadikannya sebagai satu-satunya syarikat ‘startup’ digital dengan penghantaran capaian akhir di Lembah Klang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Kolaborasi antara Gogopasar dan KOPENAS Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-36 KOPENAS BerhadĀ semalam.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Lynn menambah, bermula di peringkat koperasi sekolah, pihaknya percaya kerjasama ekonomi digital akan mempercepat lagi transformasi digital merentasi semua negeri di Malaysia.
“Selaras dengan matlamat transformasi digital negara, Gogopasar menyasarkan untuk membantu petani memasarkan produk ternakan haiwan dan tani mereka terus kepada pengguna.
“Sasaran kami adalah untuk membantu kerajaan dapat membekalkan rantaian makanan kepada rakat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KOPENAS, Jumat Mat Lani, berkata pendigitalan koperasi sekolah melalui STEP, secara tidak langsung dapat memasarkan produk koperasi sekolah itu, bukan hanya kepada anggota koperasi tetapi ibu bapa dan masyarakat setempat.
“Selain itu, kecekapan dalam tadbir urus koperasi menggunakan perisian ini akan dapat menukar kaedah perniagaan konvensional koperasi kepada kaedah pendigitalan.
“KOPENAS percaya peranan koperasi sekolah dapat memperkukuh ekonomi selaras matlamat Revolusi Perindustrian 4.0 negara digital,” katanya. – MalaysiaGazette