Home Nasional HFMD meningkat 19 kali ganda di Pahang

HFMD meningkat 19 kali ganda di Pahang

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus

KUANTAN – Sebanyak 4,555 kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dilaporkan di Pahang antara 1 Januari hingga 2 Julai lalu, berbanding 239 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu, meningkat 19 kali ganda.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, bagaimanapun hanya 92 kes HFMD dilaporkan untuk tempoh 26 Jun sehingga 2 Julai lalu, penurunan sebanyak 160 kes atau 43 peratus daripada minggu sebelumnya.

“Daripada jumlah kes yang dilaporkan, 175 kes atau 3.9 peratus adalah kes yang dikenalpasti hasil daripada penularan yang berlaku di taska, tadika atau pra sekolah manakala 4,380 atau 96.1 peratus kes adalah berlaku secara sporadik.

“Sehingga 2 Julai lalu, di JKNP telah membuat pemeriksaan di 1,661 premis taska, tadika atau pra sekolah,” katanya.

Jelas Dr. Nor Azimi, sebanyak 36 premis telah diarah tutup di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan terdapat empat pusat jagaan harian yang telah membuat penutupan secara sukarela.

“Kes HFMD di negeri ini banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur kosong hingga enam tahun iaitu sebanyak 4,058 kes atau 89.1 peratus, diikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun iaitu sebanyak 417 kes (9.1%).

“Manakala sebanyak 80 kes (1.8%) berlaku dalam kalangan individu berumur lebih 12 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujarnya majoriti kes HFMD di Pahang pulih tanpa rawatan dan hanya 109 kes yang dimasukkan ke hospital untuk pemantauan lanjut malah tiada kes yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes kematian direkodkan.

Dr. Nor Azimi berkata, meskipun trend kes mingguan HFMD menunjukkan penurunan, namun orang awam masih perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti HFMD. – MalaysiaGazette