Home Nasional Ibu tujuh anak mengaku tidak bersalah 25 pertuduhan penipuan pakej pembelian emas

Ibu tujuh anak mengaku tidak bersalah 25 pertuduhan penipuan pakej pembelian emas

Wan Noraini Wan Abdullah dihadapakan ke Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini atas 25 pertuduhan membabitkan tawaran pakej pembelian emas 916

KUANTAN – Seorang ibu kepada tujuh anak mengaku tidak bersalah atas 25 pertuduhan penipuan membabitkan pakej pembelian emas 916 ke atas empat wanita di Mahkmah Majistret Kuantan hari ini.

Tertuduh, Wan Noraini Wan Abdullah, 43, memohon dibicarakan kesemua pertuduhan yang didakwa dilakukan antara September 2021 hingga Januari 2022 lalu.

Pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah dan Ainis Abu Hassan Shaari manakala sesi pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azreen Wan Zaid  dan Aini Adilah Muhammad Faizal.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya empat wanita melalui 20 tawaran pembelian emas 916 (Pakej E) yang menawarkan pulangan 80 gram nilai emas sehingga mendorong mangsa membuat bayaran antara RM11,500 hingga RM12,100 bagi setiap pakej.

Bagaimanapun tertuduh hanya menyerahkan antara 19.17 hingga 40.36 gram nilai emas kepada mangsa iaitu kurang daripada nilai yang dijanjikan di pejabat Gold Ventures Sungai Isap Maju 1, Jalan Gambang, Kuantan.

Wan Noraini juga didakwa melakukan penipuan membabitkan lima pakej pembelian emas 916 (Pakej A) bernilai RM900 yang menawarkan pulangan 8 gram nilai emas, namun nilai yang diberikan kepada mangsa juga kurang daripada nilai yang dijanjikan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi 25 pertuduhan itu, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM72,000 dikenakan ke atas tertuduh dengan seorang penjamin bercagar bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 21 Julai ini sebagai sebutan semula kes dan 8 Ogos depan bagi pengurusan kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette