Home Nasional Insiden kepala air di Baling, tiga PPS dibuka

Insiden kepala air di Baling, tiga PPS dibuka

Keadaan banjir serta kepala air di Kampung Iboi, Baling, Kedah hari ini.

BALING – Hujan lebat berterusan menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah ini.

Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu turut menyebabkan beberapa mangsa terperangkap namun jumlah sebenar belum dikenal pasti sepenuhnya susulan pihak berkuasa sedang menjalankan operasi menyelamat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Kapten (PA), Rasidah Kassim berkata, hujan lebat selama tiga jam sejak pukul 2 petang tadi mengakibatkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing.

Keadaan rumah yang terjejas akibat kepala air serta banjir di Mukim Kupang hari ini.

“Selepas menerima laporan, anggota APM Baling digerakkan ke lokasi bagi melakukan tinjauan sebelum mendapati beberapa rumah penduduk sudah dinaiki air.

“Kejadian banjir kilat ini melibatkan Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas dalam Mukim Kupang. Kita masih menyiasat jumlah rumah yang terlibat dalam kejadian ini selain melakukan termasuk memindahkan penduduk yang didapati kawasan penempatan mereka berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Rasidah, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat  pukul 9.15 malam tadi.

Pusat Operasi dibuka di Lata Celak.

“Tiga lokasi itu ialah PPS Sekolah Kebangsaan Iboi, PPS Sheik Sheh dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai,” katanya. – MalaysiaGazette