Home Pendapat Jangan korbankan diri untuk kecantikan gigi semata-mata

Jangan korbankan diri untuk kecantikan gigi semata-mata

Hanya doktor gigi dan pengamal pergigian yang bertauliah dibenarkan merawat atau membuat apa-apa perubahan kepada gigi kita bagi tujuan perubatan dan kesihatan.

NEGARA digemparkan dengan kursus pergigian singkat yang ditawarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang dikaburi dengan nama salun kecantikan. Dalam tempoh yang singkat seseorang boleh memasang, mencabut, menggilap,
mencuci dan memperbaiki ‘dental veneer’ iaitu salah satu bahan yang dipasang di bahagian gigi bagi memperelokkan, melindungi atau merawat kecacatan pada gigi akibat trauma.

Prosedur yang biasanya dilakukan oleh doktor gigi atau pengamal pergigian bertauliah kini boleh dilakukan oleh orang biasa setelah menghadiri kursus ringkas tersebut, malah ada di antara mereka yang turut mengadakan kelas berbayar pula. Keadaan ini amat membimbangkan kerana sesuatu yang tidak diingini boleh berlaku termasuk menambah kerosakan pada gigi yang sedia ada atau mengakibatkan kerosakan kekal pada gigi.

Salun-salun kecantikan ini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan baik di bandar mahupun di luar bandar. Fenomena ini terhasil daripada keinginan dan kemahuan masyarakat untuk mencantikkan bukan sahaja wajah dan tubuh badan, malah pelbagai anggota yang diubahsuai untuk menjadi lebih menawan termasuklah gigi. Kerakusan dan kegilaan fenomena mencantikkan diri ini kadang kala melanggar batas seorang manusia ciptaan Tuhan.

Ada yang sanggup mencederakan badan dan menghabiskan wang ringgit demi mengikut ‘trend’ semasa. Malah ada yang sanggup menggadai kesihatan gigi dan tubuh badan mereka agar kelihatan lebih putih, bersih dan bergaya. Keadaan ini sekiranya tidak dikawal dan dibendung akan merosakkan diri sendiri. Penggunaan bahan-bahan kimia serta prosedur yang tidak tepat boleh mengakibatkan kerosakan gigi menyebabkan ia terpaksa dicabut, malah ada prosedur yang boleh mengakibatkan jangkitan dan boleh juga membawa maut.

Gigi merupakan salah satu anggota badan yang perlu kita jaga sebaiknya. Hanya doktor gigi dan pengamal pergigian yang bertauliah sahaja yang dibenarkan merawat atau membuat apa-apa perubahan kepada gigi kita bagi tujuan perubatan dan
kesihatan. Kosmetik pergigian yang diamalkan oleh salun kecantikan adalah satu kesalahan dan merupakan perbuatan yang tidak beretika kerana perbuatan mengubah atau melakukan apa-apa rawatan kepada gigi boleh mengakibatkan kerosakan gig
pada masa akan datang.

Telah ramai doktor gigi yang telah berhadapan dengan pesakit yang mengadu tentang kerosakan gigi yang berlaku setelah mendapatkan ‘rawatan kecantikan’ gigi di salun-salun kecantikan ini. Gigi hanya muncul dua kali dalam kehidupan kita, iaitu gigi susu dan gigi kekal. Gigi kekal itu hanya kekal selagi ia berada tertanam di dalam gusi kita. Setelah tercabut atau mengalami kerosakan, tiada lagi pengganti yang asli.

Memang ada kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk memperbaiki gigi yang rosak dan inilah pentingnya kita berjumpa dengan doktor gigi atau pengamal pergigian yang bertauliah bagi memastikan proses dan prosedur itu dijalankan dengan baik.
Buat segenap lapisan masyarakat di luar sana, janganlah kita membawa diri kita kepada kerosakan. Ini ditegaskan di dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu kepada kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195)
Kita sebagai rakyat bertanggungjawab melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui perkara ini berlaku.

Ini adalah penting bagi mengelakkan percambahan salun-salun sebegini yang beroperasi tanpa pengawasan dan pengendalian yang betul. Memperluaskan pemantauan dan meningkatkan penguatkuasaan bagi premis kecantikan yang menawarkan rawatan gigi kepada pesakit juga perlu dilaksanakan oleh pihak berwajib bagi membendung perkara ini sebelum ada lagi nyawa yang melayang. Justeru, masyarakat harus sama-sama berganding bahu bagi melaporkan isu ini kepada pihak yang berwajib. Kita jaga kita. Kita jaga gigi kita. Gigi sihat, senyuman berseri.

Oleh: Prof Madya Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi dan Pergigian, Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) &

Dr Jannatul Madihah Abu Bakar,
Setiausaha, WARAK PAPISMA