LONDON – Manchester City mengesahkan pembelian bintang tengah Leeds United, Kalvin Phillips.
Juara Liga Perdana Inggeris musim 2021/22 itu berjaya menandatangani pemain antarabangsa England itu dengan nilai £45 juta (RM240.7 juta).
Menurut BBC Sports, pemain itu telah menandatangani kontrak enam tahun bersama skuad kendalian Pep Guardiola.
Phillips merupakan pemain ketiga yang dibeli kelab Etihad itu selepas kehadiran bintang sensasi muda dari Bundesliga Jerman, Erling Haaland dan Stefan Ortega Moreno.
“Saya teruja kerana akhirnya melengkapkan perpindahan ke Manchester City yang terbukti sebagai kelab terbaik di England ketika ini,” katanya.
Phillips telah menghabiskan lapan musim di Elland Road dan menjaringkan 14 gol dalam 235 penampilan bersama kelab itu.
Dia masih mempunyai kontrak berbaki dua tahun bersama Leeds namun segera melengkapkan penghijrahan ke Etihad.
Phillips percaya keupayaan serta kejurulatihan skuad City yang terbaik merupakan peluang untuk dirinya mempertingkatkan lagi kemahiran untuk menjadi pemain profesional.- BBC Sports