Home Nasional Nelayan mengaku bersalah tipu urusan jual beli bot, alat kelengkapan

Nelayan mengaku bersalah tipu urusan jual beli bot, alat kelengkapan

Mohd Azrim Ali dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan di atas 10 pertuduhan membabitkan penipuan jual beli bot dan alat kelengkapan nelayan.

KUANTAN – Seorang lelaki mengaku bersalah atas empat daripada 10 pertuduhan melakukan penipuan pembelian bot dan alat kelengkapan nelayan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh yang juga seorang nelayan mengangguk faham ketika hukuman dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah dan Ainis Abu Hassan Shaari manakala sesi pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid  dan Aini Adilah Muhammad Faizal.

Walau bagaimanapun, Mohd Azrim Ali, 36 tahun mengku tidak bersalah atas enam lagi pertuduhan membabitkan penipuan ke atas mangsa yang sama dalam kejadian antara 7 April 2021 sehingga 12 Mei 2021.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati menipu mangsa bagi pembelian bot nelayan dan alat tangkapan ikan tidak wujud hingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM23,300 melalui dalam talian.

Azrim didakwa melakukan kesemua 10 pertuduhan di bawah Sesyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan sebat serta dikenakan denda.

Bagi empat pertuduhan awal, mahkamah menawarkan pengurangan jaminan sebanyak RM15,000 berserta seorang penjamin manakala bagi enam pertuduhan berikutnya, tertuduh ditawarkan wang jaminan berjumlah RM12,000 dengan sorang penjamin.

Mahkamah menetapkan semula kes pada 19 Julai dan 21 Julai hadapan bagi pengurusan kes dan serahan dokumen.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aini Adilah Muhammad Faizal. – MalaysiaGazette