Home National Pasukan Khas Jihad Inflasi perlu tangani kartel sorok bekalan

Pasukan Khas Jihad Inflasi perlu tangani kartel sorok bekalan

Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi perlu menangani kartel-kartel yang mengeksploitasi dan memanipulasi harga dan bekalan.

Gesaan tersebut dibuat oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berikutan laporan berita bekalan ayam mula stabil selepas kerajaan menaikkan harga siling ayam dan telur.

Menurut beliau, situasi yang berlaku terhadap bekalan ayam jelas menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam pasaran.

“Masa harga siling ayam kerajaan tetapkan pada RM8.90 tiba-tiba bekalan tiada. Apabila harga siling dinaikkan kepada RM9.40 tiba-tiba berlaku lambakan ayam sehingga ada tak habis terjual.

“Ini antara isyarat jelas bahawa inflasi hari ini bukan sangat kerana permintaan luar biasa melebihi daripada penawaran, sebaliknya berlaku masalah di peringkat penawaran dan bekalan.

“Justeru fokus kerajaan melalui Pasukan Khas Jihad Inflasi mesti tertumpu juga kepada kartel-kartel yang mengeksploitasi dan memanipulasi harga dan bekalan. Bukannya menghukum peniaga di hujung rantaian yang turut menjadi mangsa akibat kenaikan harga,” katanya.

Beliau menegaskan, pasukan itu harus memantau dengan teliti isu bekalan minyak masak bersubsidi dalam paket berharga RM2.50 satu kilogram.

Katanya, ketika ini bekalan minyak masak dalam paket sukar didapati selepas kerajaan menghapuskan subsidi terhadap minyak yang dijual dalam botol.

Beliau mengesyaki terhadap pihak tertentu yang menyorok bekalan minyak masak dalam pek bagi membuat keuntungan.

“Begitu juga isu minyak masak paket bersubsidi yang sukar untuk didapati di pasaran berbanding minyak masak botol yang sudah ditarik subsidinya.

“Apakah wujud sorokan bekalan atau ‘kawtim’ di belakang dengan pihak-pihak tertentu untuk meraih keuntungan di atas subsidi rakyat.

“Jangan kerana tersilap percaturan dan strategi jihad, rakyat yang susah menjadi mangsa!” tegasnya.

Media sebelum ini melaporkan penternak menafikan mereka menyimpan stok ayam sehingga harga siling baharu dikuatkuasakan Jumaat lalu, bagi meraih keuntungan lebih tinggi.

Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor, Lau Ka Leng sebaliknya menjelaskan, saiz ayam segar di pasaran yang besar sehingga lebih dua kilogram (kg) adalah berikutan ternakan ayam di ladang melepasi tempoh matang kerana permintaan semakin berkurangan.

Katanya, dakwaan bahawa penternak menyimpan stok ayam adalah tidak benar, berikutan mereka akan merekodkan kerugian lebih tinggi jika menyimpan ayam sehingga melepasi tempoh matang terlalu lama kerana kos operasi akan bertambah sekali ganda.

Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Pasukan tersebut berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan. – MalaysiaGazette