Home Politik PN selesai buat pelantikan Ketua Perhubungan Kawasan di Kelantan

PN selesai buat pelantikan Ketua Perhubungan Kawasan di Kelantan

Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Tiga menteri dan seorang Timbalan Menteri Besar dilantik sebagai Ketua Badan Perhubungan Kawasan Perikatan Nasional (PN) bagi Kelantan.

Mereka ialah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Pelantikan itu diumumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerusi kenyataan kepada media, semalam.

Dr. Mohd Radzi Md. Jidin

Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Datuk Mohd Amar Abdullah dilantik sebagai Ketua Badan Perhubungan Kawasan Pengkalan Chepa.

Menurut Hamzah, Takiyuddin akan mengetuai PN Kawasan Kota Bharu, Dr. Radzi (Kawasan Ketereh) dan Mustapa (Kawasan Jeli).

“Semua 13 Ketua Kawasan ini dilantik oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut Fasal 22.2 (I) Perlembagaan Perikatan Nasional.

Mohd Amar Abdullah

“Manakala satu kawasan iaitu Tumpat belum ada pelantikan, tetapi akan dimuktamad dan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau merakamkan tahniah atas pelantikan itu dan percaya dapat memperkasa gerak kerja serta jentera organisasi pilihan raya PN di peringkat akar umbi di Kelantan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette