Home Nasional Syed Saddiq arah keluar wang tunai RM1 juta – Saksi

Syed Saddiq arah keluar wang tunai RM1 juta – Saksi

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengarahkan Penolong Setiausaha dan Bendahari Armada Bersatu memberi arahan mengeluarkan wang tunai RM1 juta daripada akaun parti itu.

Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, 32, dalam pernyataan bertulisnya memberitahu, beliau dan Rafiq Hakim Razali diarah berbuat demikian pada awal Mac 2020 dalam perjumpaan di rumah Ahli Parlimen Muar itu di Petaling Jaya.

Beliau yang juga bekas pegawai khas Syed Saddiq memberitahu, Syed Saddiq turut berbincang mengenai pertukaran kerajaan dan kedudukan Armada dalam kerajaan kerana beliau berada dalam blok pembangkang bersama-sama Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Syed Saddiq mengarahkan Rafiq Hakim dan saya mengeluarkan wang daripada akaun Armada Bersatu secara tunai.

“Syed Saddiq mengatakan wang berkenaan perlu dikeluarkan daripada akaun kerana beliau bimbang berlaku pertukaran pucuk pimpinan Armada dan untuk kegunaan mengukuhkan kedudukannya sebagai Ketua Armada Bersatu sekiranya berlaku pergolakan dalaman menerusi program membabitkan Armada,” katanya.

Ahmad Redzuan yang juga saksi ke-11 pendakwaan itu menambah, Syed Saddiq memberitahu, duit dalam akaun Armada Pusat (CIMB) adalah hasil titik peluh beliau mencari sumbangan dan berhak menggunakannya.

Ujar beliau, Syed Saddiq memanggil beliau dan Rafiq Hakim kerana mereka adalah antara pemegang amanah dan penandatangan cek CIMB Bank Armada Pusat.

“Perjumpaan ini adalah sebelum 6 Mac 2020 iaitu tarikh pengeluaran wang tunai berjumlah RM1 juta daripada akaun rasmi Armada.

“Pengeluaran wang RM1 juta ini adalah daripada akaun CIMB Bank bernombor 80-0848352-5 atas nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada Pusat),” katanya.

Ahmad Redzuan berkata, Syed Saddiq tidak memberitahu sama ada ia mendapat kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu atau sebaliknya ketika bekas menteri Kabinet itu mengarahkan beliau dan Rafiq Hakim mengeluarkan wang tunai RM1 juta daripada akaun rasmi Armada.

“Ketika perjumpaan di rumah Syed Saddiq, beliau memberitahu, wang tunai yang akan dikeluarkan adalah semata-mata untuk kegunaan parti.

“Saya mengetahui arahan Syed Saddiq adalah satu kesalahan selepas dipanggil pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia) pada 3 Jun 2020 kerana melanggar Perlembagaan Bersatu dalam Fasal 24 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

Ahmad Redzuan, menurut Fasal 24, bendahari agung parti hanya dibenarkan menyimpan wang tunai runcit tidak melebihi RM50,000 pada satu-satu masa dan wang itu mesti disimpan di tempat selamat dalam pejabat berdaftar untuk kegunaan perbelanjaan parti.

Katanya, perbelanjaan yang melebihi RM500,000 pada satu-satu masa tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran MPT Bersatu.

“Saya sahkan Syed Saddiq sendiri tidak boleh mengeluarkan wang tunai daripada akaun CIMB Bank bernombor 80-0848352-5 atas nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA Pusat) tanpa mengarahkan saya dan Rafiq Hakim mengeluarkannya.

“Berhubung isu RM1 juta itu, walaupun kelulusan dikeluarkan oleh Syed Saddiq kepada saya dan Rafiq Hakim untuk mengeluarkan wang RM1 juta bagi mengukuhkan kedudukan Syed Saddiq, ia melanggar etika tatacara pengeluaran wang daripada akaun ARMADA,” katanya.

Tambahnya, walaupun mengetahui berlaku perlanggaran tatacara pengeluaran wang, beliau terpaksa akur dengan arahan Syed Saddiq atas kapasiti sebagai Ketua ARMADA dan Ahli Parlimen Muar.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – MalaysiaGazette