KUALA LUMPUR – Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa beliau yakin UMNO pun akan rasa lega dan tidak akan rugi apa-apa kalau Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meninggalkan parti itu untuk bersama Pas.
Sekurang-kurangnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pasir Salak boleh memberi laluan serta peluang kepada kepimpinan muda di kawasan itu untuk menjadi calon pada PRU15 nanti, katanya yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.
Bahkan, katanya, sudah tiba masan UMNO/BN Pasir Salak untuk melakukan reformasi kepimpinan dan mungkin bahagian ini akan jadi contoh terbaik kepada permulaan proses peremajaan UMNO.
”Tajuddin pun sudah lebih dua dekad menjadi Ahli Parlimen Pasir Salak dan macam-macam jawatan daripada menteri ke pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) hinggalah kepada Duta Khas.
“Jadi cukuplah tu. Bagilah peluang orang lain nak merasa jadi Ahli Parlimen pula,” katanya sambil mendakwa dia gelak besar apabila Setiausaha Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempelawa Tajuddin menyertai parti berkenaan.
Nur Jazlan menyifatkan sekarang ini pun Tajuddin hanya liabiliti dan tidak membawa keuntungan apa-apa kepada UMNO.
Dakwanya, individu yang suka perlekehkan presiden, memalukan parti sendiri memang tak layak lagi bersama UMNO.
”Orang macam ini sudah tak boleh dipercayai sama macam pemimpin Pas yang rakyat terutamanya pengundi Melayu Islam sudah tak percaya lagi dengan macam-macam retorik politik dan penunggang agama selama ini.
”Jadi lebih baiklah Tajuddin terjun bersama labu-labu sayongnya dan hanyut di Sungai Pasir Salak bersama Pas,” bidasnya. – MalaysiaGazette