Home Pendapat Undi bukan untuk dijual beli

Undi bukan untuk dijual beli

Hans Isaac.

BAGAIMANA parti Keadilan Rakyat (PKR) mampu meyakinkan semula ahli mereka selepas kecacatan lampau ketika proses pemilihan baru-baru ini?

Sudah lebih sebulan tetapi masih belum ada keputusan rasmi malah proses audit yang objektif utama adalah untuk mengesan penipuan, tidak menjanjikan solusi untuk ‘membetulkan’ keadaan.

Pembongkaran perbincangan tertutup oleh ahli majlis pimpinan pusat oleh sebuah portal pula memberi bayangan seolah-olah wujud usaha menutup aib parti reformis itu sendiri.

Perjumpaan santai antara Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bakal Timbalan Presiden Rafizi Ramli diiringi mantan Naib Presiden Nurul Izzah walaupun telah memberikan impak positif dalam kalangan ahli untuk terus mara bagi persiapan menuju pilihanraya umum ke-15, masih tidak dapat mengubati segelintir calon dan ahli yang mahukan keadilan.

Adakah wujud manipulasi atau kesilapan sistem berpunca dari faktor tidak disengajakan?

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bertanggungjawab dalam memantau dan memastikan ketelusan setiap parti-parti politik mahupun pertubuhan dalam menjalankan amanat mereka dalam sebarang proses yang menyentuh aspek perundangan dan perlembagaan demi kesejahteraan semua.

Sekiranya masalah sedemikian tidak diendah, akan menjurus kepada isu yang lebih besar seperti kawalan dana dan kewangan sebuah pertubuhan itu.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) harus lebih proaktif dalam menjawab persoalan lazim oleh ahli parti kerana rakyat sedang menilai PKR. Insiden melibatkan politik wang yang dikaitkan di beberapa cabang harus diteliti tanpa sebarang kompromi.

Malah di Ampang pemilihan telah diadakan buat kali kedua dan dimenangi oleh Hans Isaac dengan majoriti tipis. Beberapa laporan telah dibuat berikutan mesej tular dakwaan beliau juga terlibat dalam amalan politik wang, pada masa ini ianya masih satu spekulasi kerana JPP masih belum memberikan respons.

Perkara ini menggusarkan semua pihak kerana imej seorang pemimpin akan dihina selagi isu dibangkitkan dibiarkan begitu sahaja. Mungkin lebih baik bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat laporan sedemikian bagi mengelak usaha mana-mana pihak daripada menghalang proses keadilan.

Ahli parti dan rakyat Malaysia tidak mahu ditunggang lagi oleh pemimpin hipokrit.

Shahimi Hashim
Ralat demokrasi