Home Dunia 6 maut dalam tembakan rambang sambutan Hari Kebangsaan di Chicago

6 maut dalam tembakan rambang sambutan Hari Kebangsaan di Chicago

Barang-barang milik orang ramai yang ditinggalkan selepas kejadian tembakan semasa perarakan Hari Kebangsaan di Chicago. Foto EPA

CHICAGO – Polis sedang menjejaki seorang lelaki bersenjata di atas bumbung yang menembak mati enam orang pada perarakan Hari Kemerdekaan berhampiran bandar ini.

Acara yang dijalankan di bandar Highland Park, Illinois, tiba-tiba dihentikan sejurus kira-kira jam 10.15 pagi waktu tempatan (15:00 GMT), apabila beberapa tembakan kedengaran.

Semasa kejadian, acara itu baru sahaja beberapa minit bermula.

Seramai 24 orang telah dikejarkan ke hospital.

Seorang suspek telah dinamakan sebagai Robert E Crimo III, 22.

Polis berkata, lelaki yang bersenjata itu berbahaya kerana menyasarkan peserta perarakan secara rambang dengan senapang berkuasa tinggi.

Suspek dipercayai melepaskan tembakan ke arah orang awam dari atas bumbung kedai berhampiran, dan polis telah menemui “bukti senjata api.”

Lima orang dewasa terbunuh di tempat kejadian, serta seorang lagi mangsa yang menurut koroner tempatan meninggal dunia di hospital berdekatan.

4 Julai ialah cuti kebangsaan Amerika selepas mendapat pengisytiharan kemerdekaan daripada Great Britain pada tahun 1776.

Saksi di tempat kejadian menyifatkan detik-detik itu mengerikan selepas mendengar beberapa das tembakan dilepaskan secara berturut-turut.

Anand, yang berada kurang daripada 100 meter (328 kaki) dari penembak, memberitahu BBC, dia pada mulanya menyangka mendengar sebuah kereta berundur sebelum dia melihat orang lain berlari dan menyedari apa yang berlaku.

Ia adalah “jenis pistol di mana suspek melepaskan banyak peluru dalam masa yang sangat singkat. Sangat kuat. Kemudian senyap sepenuhnya,” katanya.

Seorang lagi saksi, Noel Hara berkata, dia sedang bersarapan di Starbucks selepas menghantar anaknya menyertai perarakan, apabila huru-hara berlaku.

“Kira-kira 30 orang tiba-tiba datang bergegas menjerit dan kami dikurung di dalam bilik air Starbucks.

“Seketika kemudian, mereka memindahkan kami dari Starbucks kerana mereka menyangka penembak itu cuba masuk ke pintu belakang,” katanya.

Hara akhirnya dapat bertemu semula dengan anaknya selepas mengikuti pergerakannya pada aplikasi penjejakan lokasi.

Beberapa jam selepas serangan, polis masih mencari suspek, menggunakan anjing polis dan dron di laluan perbarisan, kawasan pusat bandar dan daerah pusat perniagaan. – BBC