SAMBIL merehatkan badan setelah seharian bekerja, saya sempat membuka media sosial untuk mengetahui maklumat atau kejadian yang berlaku di sekeliling. Lalu,terlintas satu berita yang dikeluarkan oleh sebuah portal berita tempatan berkenaan dua ahli politik yang “berbalas pantun” berkenaan kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Penulisan ini bukanlah satu cerita dongeng politik untuk membela mana-mana ahli dan parti politik tertentu yang mempunyai kepentingan apabila membicarakan soal bahasa yang agak sensitif bagi orang melayu. Setiap individu pasti ada perbezaan pendapat dan berlainan pemahanan dalam sesuatu perkara.
Sebelum kita pergi lebih jauh, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa isu bahasa melayu ini sangat sensitif. Jangan sesekali kita mempersoalkan keistimewaan bahasa melayu itu sendiri yang telah mendapat kedudukan yang istimewa dalam perlembagaan persekutuan.
Pertama sekali, kita perlu faham maksud bahasa itu sendiri. Dalam Kamus Dewan edisi ketiga telah dinyatakan bahasa bahasa itu ialah lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok tertentu. Setiap bahasa yang dimuntahkan melalui mulut seseorang sama ada individu tersebut bercakap dalam bahasa Melayu, Mandarin, Tamil, Inggeris, Perancis dan sebagainya semuanya mempunyai sejarah panjang yang tersendiri setelah berevolusi sejak sekian lama. Begitu juga bahasa-bahasa lain yang wujud di serata dunia.
Di Malaysia misalnya bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa kebangsaan. Dalam perlembagaan persekutuan Perkara 152(1) telah dinyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan tidak ada sebarang halangan daripada mengajarkan atau belajar bahasa selain bahasa Melayu melainkan perkara rasmi. Jadi,tidak timbul sebarang permasalahan untuk kita mendidik dan bertutur dengan anak-anak kita dengan menggunakan selain bahasa Melayu.
Namun,penggunaan bahasa melayu perlu diberikan keutamaan dan kepentingannya tidak boleh dipandang sebelah mata kerana bahasa melayu telah dijadikan sebagai bahasa kebangsaan di negara kita. Setiap warganegara Malaysia wajib fasih dalam berbahasa Melayu dengan lancar.
Sejujurnya,saya tidak bersetuju sekiranya individu yang menggunakan bahasa inggeris mempunyai pemikiran terjajah. Bagaimana pula sekiranya seseorang itu menggunakan bahasa Arab seperti “Ana” dan “Anta” dalam perbualan seharian mereka? Adakah mereka ini mempunyai pemikiran arabisasi?
Kita sedar bahawa berapa ramai yang lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian mereka? Berapa ramai anak Cina dan India yang tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan lancar dan ada juga kaum Melayu sendiri yang pelat dan malu untuk menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri. Lebih menyedihkan lagi,ada segelintir wakil rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu dan kadang-kadang kita sendiri sukar untuk memahami apa yang dibahaskan oleh beliau di parlimen.
Saya tidak menafikan bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia dan bahasa ilmu pada masa kini selain bahasa-bahasa lain. Tetapi,kita perlu mengimbangi antara kepentingan bahasa Melayu dan bahasa lain supaya bahasa Melayu tidak terus ditelan zaman tanpa kubur yang tak bernisan.
Selain itu,saya agak meragui cadangan yang dibuat oleh Perdana Menteri beberapa bulan yang lalu untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN. Cadangan ini cukup baik dilaksanakan namun sejauh mana keberkesaan dan penerimaan orang ramai terhadap cadangan ini. Sebelum bahasa Melayu ingin dijadikan sebagai bahasa yang setaraf dengan bahasa dunia yang lain,beliau perlu memastikan bahawa semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, budaya, miskin atau kaya terus mengamalkan penggunaan bahasa Melayu dengan baik dalam kehidupan seharian mereka.
Bagaimana kita nak membina menara yang tinggi sedangkan tiangnya masih bergoyang?
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu bekerja dengan lebih kuat dengan memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan lebih banyak terjemahan perkataan bahasa asing ke bahasa melayu. Berapa ramai rakyat kita yang lebih gemar menggunakan perkataan “viral” berbanding tular? Berapa ramai yang masih menggunakan perkataan “maintenance” berbanding selenggara? Buku-buku ilmiah juga perlu banyak diterjemahkan ke bahasa Melayu supaya dapat mempermudahkan sesetengah kelompok yang tidak mahir berbahasa Inggeris untuk menambah ilmu pengetahuan.
Tuntasnya,setiap bahasa memainkan peranan yang sangat penting dalam sesebuah negara. Bahasa itu bukanlah tanda atau lambang pemodenan yang nyata tetapi pemikiran dan kematangan rakyat itu yang menjadi tunggak kepada sesebuah kemajuan.
Muhammad Azha Salahudin
Aktivis NGO