KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) segera menyelaras bantuan Musa’adah membantu mangsa kejadian banjir lumpur di Baling, Kedah.
Penyelarasan bantuan itu yang diketuai Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff akan turun ke kawasan berkenaan bersama pihak berkuasa negeri Kedah bagi membantu penduduk yang terkesan dan terjejas.
Idris yang ketika ini berada di Makkah berkata, beliau mengikuti laporan media mengenai kejadian banjir lumpur yang melanda beberapa kawasan di daerah Baling.
“Dari lubuk hati yang dalam, saya berasa amat dukacita dan bersimpati dengan penduduk yang terlibat ujian itu.
“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah JAKIM untuk segera menyelaras bantuan Musa’adah JAKIM bersama pihak berkuasa Kedah bagi membantu penduduk yang terkesan dan terjejas,” katanya dalam kenyataan kepada media, awal pagi tadi.
Semalam media melaporkan, hujan lebat berterusan menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah itu.
Kejadian pada kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan beberapa mangsa terperangkap, namun jumlah sebenar belum dikenal pasti sepenuhnya susulan pihak berkuasa sedang menjalankan operasi menyelamat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, hujan lebat selama tiga jam sejak 2 petang itu mengakibatkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing.
Menurut Idris, JAKIM dan agensi hal ehwal bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang berkaitan telah di arah turun ke lapangan membantu pihak berkuasa negeri Kedah.
“Didoakan semua pihak yang terlibat dikurniakan kesabaran serta ketabahan menghadapi ujian ini.
“Saya menyeru seluruh masyarakat termasuk jemaah Haji di Makkah bersama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara,” katanya. – MalaysiaGazette