KUALA LUMPUR – Calon Naib Presiden PKR yang tewas dalam pemilihan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menasihatkan Rafizi Ramli supaya berhenti bersandiwara.
Ia susulah tuduhan terbaharu yang dilemparkan Rafizi bahawa Farhash termasuk dalam kumpulan yang rapat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat dirinya tewas dalam pemilihan parti.
“Rafizi juga perlu berhenti memfitnah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah membiarkan dirinya dikawal orang-orang lain.
“Ini sedangkan beliau sendiri turut cuba mempengaruhi presiden dengan berbagai cara.
“Nasihat saya kepada saudara Rafizi adalah supaya beliau lebih ikhlas, jujur dan berhenti bersandiwara sedangkan di sebaliknya beliau bermain politik kotor,” dakwanya hari ini.
Dalam kenyataan yang disiarkan tidak lama selepas Rafizi membuat tuduhan terhadapnya, Farhash menyangkal segala dakwaan bekas Ahli Parlimen Pandan itu.
Kata Farhash, Rafizi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seolah-olah tidak tahu mengenai kepincangan yang berlaku dalam proses pemilihan PKR.
Tambahnya, aduan terhadap kepincangan yang berlaku dalam pemilihan PKR bukan dibuat oleh beliau seorang tetapi oleh ratusan anggota dan calon terhadap keputusan yang dilihat tidak munasabah.
“Sejak dari awal telah wujud persoalan tentang keberadaan syarikat pengendali aplikasi mudah-alih ADIL yang digunapakai untuk pengundian atas talian (PAT) dalam pemilihan Parti kali ini, di mana individu-individu yang terlibat terkait rapat dengan dirinya dan gerakan Ayuh Malaysianya.
“Jelas proses pemilihan dan lebih lagi pengiraan undi yang dilakukan secara rahsia terbuka kepada manipulasi dan penipuan akibat dari itu. Ini adalah amalan yang sepatutnya ditolak oleh parti dari awal lagi namun dibiarkan.
“Tuntutan kami adalah seperti juga apa yang parti serta rakan-rakan seangkatan kita telah perjuangkan dalam gerakan menuntut pilhanraya yang bersih, telus dan adil,” katanya.
Farhash mendesak supaya audit forensik dilakukan dengan telus dan membuat kiraan semula semua undi termasuk pengundian atas talian di hadapan saksi.
Rafizi dalam kenyataan hari ini mendakwa Farhash antara kumpulan yang rapat dengan Anwar yang mahu melihat beliau tewas jawatan Timbalan Presiden PKR.
Serentak itu Rafizi mahu tindakan diambil terhadap pihak yang terus mempersoalkan keputusan rasmi pemilihan parti yang telah dimuktamadkan.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tindakan perlu diambil terhadap ahli persoal keputusan pemilihan PKR – Rafizi