Home Ekonomi Harga minyak boleh menjunam AS$65 setong pada akhir tahun ini

Harga minyak boleh menjunam AS$65 setong pada akhir tahun ini

Gambar hiasan

NEW YORK – Minyak mentah diunjur merudum kepada AS$65 setong menjelang akhir tahun ini dan merosot kepada AS$45 menjelang akhir 2023 jika kemelesetan berlaku sehingga melumpuhkan permintaan, menurut amaran yang dikeluarkan Citigroup Inc.

Tinjauan itu berdasarkan ketiadaan sebarang campur tangan oleh pengeluar OPEC+ dan penurunan dalam pelaburan minyak, kata penganalisis termasuk Francesco Martoccia dan Ed Morse dalam satu laporan.

Brent, penanda aras minyak mentah global, kali terakhir didagangkan berhampiran AS$113 setong.

Minyak telah melonjak tahun ini berikutan pencerobohan Ukraine dan bank-bank kini cuba merangka laluannya tahun 2023 apabila bank pusat menaikkan kadar faedah dan risiko kemelesetan meningkat.

Tinjauan Citi membandingkan pasaran tenaga semasa dengan krisis tahun 1970-an.

Pada masa ini, pakar ekonomi bank itu tidak menjangkakan Amerika Syarikat akan mengalami kemelesetan.

“Untuk minyak, bukti sejarah menunjukkan permintaan minyak menjadi negatif hanya dalam kemelesetan global yang paling teruk.Tetapi harga minyak jatuh dalam semua kemelesetan kepada kira-kira kos marginal,” menurut nota penyelidikannya. – Bloomberg