KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau menawarkan jam tangan berjenama kepada 30,000 pengunjung yang menghadiri Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Sabtu lalu.
Ikmal Hisham yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, sebaliknya kehadiran ribuan pengunjung itu dilakukan secara sukarela dan bukan kerana imbuhan tertentu seperti pemberian jam tangan G-Shock atau payung.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya pemberian jam tangan atau payung
tersebut seperti mana didakwa.
“Saya percaya kehadiran mereka bagi menghargai Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang banyak jasanya kepada rakyat ketika menguruskan pandemik Covid-19 semasa beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal mendakwa wakil rakyat Bersatu itu menawarkan jam jenama Casio G-Shock secara percuma untuk menarik kehadiran orang ramai ke Majlis Pelancaran PN Kelantan di padang Majlis Daerah Tanah Merah, Sabtu lalu.
Ikmal Hisham juga mencabar pihak yang menuduh beliau menawarkan imbuhan itu untuk mengemukakan bukti mana-mana pihak yang menerima jam dan payung dalam majlis itu.
“Saya turut kesal dengan tohmahan mengatakan orang ramai diberi jam tangan G-Shock.
“Saya fikir tidak munasabah kerana ia pastinya melibatkan kos cukup besar mencecah berbelas-belas juta ringgit jika mahu diberikan sebagai cenderahati kepada lebih 30,000 pengunjung di Pelancaran PN Kelantan tersebut,” katanya.
Tambahnya, kehadiran lebih 30,000 pengunjung itu disebabkan orang ramai yang hadir ke mesyuarat berkelompok Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah di lokasi sama tidak pulang.
“Bagaimanapun orang ramai tidak berganjak, malah lebih ramai yang datang,” katanya.
Mengulas mengenai hadiah cabutan bertuah pula, Ikmal Hisham berkata, acara itu sekadar untuk memeriahkan majlis dan bukan bertujuan untuk menarik kehadiran ribuan pengunjung.
“Namun perlu difahami jika program atau penganjurnya tidak disukai oleh rakyat, betapa besar pun hadiah yang disediakan orang ramai tetap tidak akan hadir.
“Saya mempelawa mana-mana pihak menganjurkan apa-apa majlis di Tanah Merah dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah lebih hebat bagi membuktikan mereka mampu atau tidak menarik kehadiran lebih 30,000 orang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette