Home SISWA Konsep Menu Keluarga buat pelajar UTeM

Konsep Menu Keluarga buat pelajar UTeM

Dr. Massila Kamalrudin

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkenalkan konsep Menu Keluarga UTeM buat pelajarnya bagi mengawal kenaikan harga makanan dan minuman di dalam kampus.

Naib canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, Menu Keluarga UTeM ini adalah menu makanan berat dan berkhasiat merangkumi set nasi berlauk bersama air yang diperkenalkan menerusi dua variasi iaitu dengan kadaran set harga RM3 dan harga RM4.

”Bagi memantapkan kawalan harga makanan dan terus cakna kebajikan pelajar UTeM yang kebanyakannya dalam golongan B40 maka kami turut akan
melaksanakan sistem pemberian bantuan makanan kepada pelajar B40.

”Ini semua bagi memastikan para pelajar UTeM tidak terbeban walau dunia dan negara sedang menghadapi gelombang kenaikan harga barangan,” katanya.

Massila berkata, kebajikan pihak pengusaha kafetaria turut dipelihara kerana mereka berhadapan langsung dengan kenaikan harga barangan namun tetap perlu mengekalkan harga makanan pada kadar sedia ada.

Justeru, UTeM turut bersetuju membantu meringankan bebanan kos pengusaha kafetaria UTeM dengan memberikan pengecualian sewa bulanan bermula dari bulan Julai sehingga Disember 2022.

Katanya, situasi menang menang ini adalah kerana pihak UTeM bersama pelajar-pelajarnya serta pengusaha kafetaria adalah di bawah persekitaran keluarga UTeM
yang sentiasa prihatin dan berganding erat antara satu sama lain.

Sementara itu, Timbalan Naib canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Prof. Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, selain daripada strategi dan langkah kawalan efektif itu, pihak UTeM juga turut memperhebatkan bantuan lain seperti Food Bank Siswa UTeM B40 kepada pelajar yang tinggal di Kolej Kediaman dalam dan luar demi kebajikan dan kesejahteraan pelajar UTeM.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM, Muhd. Amri Hakimi Alias, menyokong usaha yang dilaksanakan oleh pihak UTeM dan MPP akan
sentiasa memantau dan bekerjasama dalam memastikan kawalan harga makanan yang efektif, kualiti dan berpatutan lalu ini membuktikan suara mahasiswa diambil
perhatian serius oleh pihak universiti. – MalaysiaGazette