KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Presiden UMNO, Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu mendapatkan perintah injuksi terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusoff juga telah memerintahkan Ahmad Zahid membuktikan terlebih dahulu kenyataan Mahathir dalam satu sidang media bertarikh 23 Februari 2022 dianggap tidak benar sebelum perbicaraan penuh kes saman fitnah itu.
Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan Ahmad Zahid membayar kos sebanyak RM5,000 hari ini dan memutuskan 23 Ogos depan bagi pendengaran kes.
Untuk makluman, sebelum ini, Ahmad Zahid membuat permohonan injuksi berikutan selepas sidang media oleh Mahathir pada Februari mendakwa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu serta beberapa individu telah pergi ke rumahnya pada 2018 kononnya untuk berbaik dengannya sebelum Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-7.
Namun dakwa Ahmad Zahid, dakwaan itu sebenarnya tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan berniat jahat.
Ahmad Zahid mendakwa Mahathir itu mengeluarkan kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya, pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari lalu.
“Pada hari sama juga, rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis itu diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro Awani dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular, iaitu Astro AWANI berdurasi 56 minit dan 46 saat yang boleh diakses melalui internet,” katanya dalam pernyataan itu.
Menurut plaintif, setakat tarikh writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan, rakaman video majlis itu mendapat jumlah tontonan sebanyak 23,443 tontonan dan akaun Youtube Astro AWANI mempunyai 1.44 juta pelanggan, selain rakaman video itu dilaporkan secara meluas melalui pelbagai medium media sosial, iaitu akaun YouTube ‘MalaysiaGazette TV’, Facebook profil ‘Astro AWANI’ dan akaun TikTok ‘MalaysiaGazette TV’.
Jelas beliau, kenyataan fitnah berkenaan antaranya membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan.
Beliau juga mendakwa difitnah menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Perdana Menteri bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri penyiasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.
Bagaimanapun, Mahathir dalam pembelaan beliau bertindak mempertahankan kenyataannya dan menyatakan akan mencabar saman berkenaan. – MalaysiaGazette